Dunia paranormal digemparkan dengan berita kematian misteri Dan Rivera, penyiasat terkenal dan penerbit siri dokumentari popular 28 Days Haunted. Rivera, 54, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dalam siri jelajah “Devil on the Run” bersama patung Annabelle yang cukup ikonik, sekali gus menimbulkan tanda tanya besar di kalangan peminat dan pengamal paranormal.
Menurut laporan The Guardian, Rivera ditemui telah meninggal dunia di sebuah hotel di Gettysburg, Pennsylvania pada 13 Julai lalu selepas pasukan keselamatan dipanggil ke lokasi. Namun begitu, punca sebenar kematiannya masih belum dikenal pasti setakat ini.

Rivera ialah Ketua Penyiasat Paranormal bagi organisasi New England Society for Psychic Research (NESPR), yang diasaskan oleh pasangan lagenda dunia paranormal, Ed dan Lorraine Warren — individu yang menjadi inspirasi kepada siri filem The Conjuring.

Dalam satu kenyataan rasmi, NESPR meluahkan rasa dukacita atas pemergian seorang tokoh utama dalam komuniti penyelidikan paranormal tersebut.
Sebelum pemergiannya, Rivera telah berjaya menjual habis tiket bagi tiga hari pertama siri jelajah “Devil on the Run” yang menampilkan patung Annabelle — patung berhantu terkenal di peringkat global yang menjadi inspirasi kepada filem Annabelle (2014), Annabelle: Creation (2017), dan Annabelle Comes Home (2019).
Susulan itu, timbullah perbincangan di media sosial yang mengaitkan insiden ini dengan kutukan yang bakal dihadapi seseorang yang menyimpan dan berdamping dengannya.
Buat organisasi NESPR yang turut merasa hiba akan kehilangan orang pentingnya, mereka akan meneruskan segala perancangan program yang dijadualkan pada tahun ini meskipun masih tidak tahu akan hala tuju selepas itu.