Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah, sebuah kemudahan baharu yang direka untuk memberikan pendekatan lebih menyeluruh, praktikal, dan mudah kepada ahli beragama Islam dalam menunaikan kewajipan zakat ke atas simpanan persaraan mereka.

Melalui kemudahan ini, ahli Simpanan Shariah beragama Islam boleh memilih untuk membenarkan KWSP menguruskan bayaran zakat tahunan mereka secara terus daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas pengisytiharan dividen dibuat.

KWSP seterusnya bertindak sebagai wakil (melalui akad Wakalah) untuk menyalurkan bayaran zakat tersebut kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.

Pengenalan kemudahan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-125.

Muzakarah memutuskan bahawa Simpanan Shariah tertakluk kepada kewajipan zakat perniagaan kerana ia memenuhi ciri pemilikan sempurna (Al-Milk Al-Tam) serta memberi hak bertransaksi (Haq Al-Tasarruf) kepada pencarum melalui akad Wakalah dengan Lembaga KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kemudahan baharu ini merupakan penambahbaikan penting bagi memperkukuh lagi tawaran Simpanan Shariah.

Pengiraan dan Kaedah Pelaksanaan

Zakat akan dikira secara kolektif (khultah) pada setiap penghujung tahun kewangan (31 Disember) mengikut kaedah modal kerja terlaras. Kadar zakat asas yang dikenakan ialah 2.577%.

Bayaran zakat kemudian dibahagikan kepada ahli secara pro-rata berdasarkan Kadar Zakat Ahli yang ditentukan mengikut agihan dividen tahunan.

Penyertaan dalam kemudahan ini adalah secara sukarela dan tidak diaktifkan secara automatik.

Ahli beragama Islam yang tidak memilih kemudahan ini boleh terus membayar zakat secara individu, manakala ahli bukan beragama Islam tidak tertakluk kepada zakat ini.

Selain itu, simpanan yang layak dikeluarkan — termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel — tidak memerlukan bayaran zakat berasingan sekiranya ahli memilih kemudahan ini.

Rekod pembayaran zakat juga akan dipaparkan secara telus dalam Penyata Tahunan KWSP dan resit rasmi boleh dirujuk daripada pihak berkuasa zakat negeri.

Cara Memilih Kemudahan

Pendaftaran dan pemilihan kemudahan ini boleh dibuat dalam tiga langkah mudah melalui aplikasi KWSP i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST), atau di mana-mana cawangan pejabat KWSP di seluruh negara:

1. Pilih: Pilih Simpanan Shariah dan seterusnya pilih kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.

2. Lengkapkan Maklumat: Masukkan maklumat negeri tempat bekerja, semak maklumat, dan buat perakuan pilihan.

3. Sahkan Pilihan: Sahkan pilihan pembayaran zakat.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh melayari laman web rasmi KWSP dan merujuk kepada soalan lazim (FAQ) yang disediakan.

Sumber