Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe tanpa berselindung membuat pendedahan bahawa beliau akan meninggalkan kelab tersebut pada musim panas ini sebagai ejen bebas.

Selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai masa depannya di Parc des Princes, Mbappe memilih untuk berbincang dengan kepimpinan tertinggi kelab, Nasser Al-Khelaifi untuk meninggalkan kelab tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Perkara tersebut bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Mbappe sebelum ini turut kelihatan berteka-teki mengenai nasibnya di PSG.

Meskipun masih belum diketahui destinasi baharu buat pemenang Piala Dunia 2018 itu tetapi seperti diketahui umum, Real Madrid sudah lama berhajat untuk mendapatkan khidmat Mbappe.

Pendedahan yang pastinya membuka seluas-luasnya peluang buat beliau untuk menyertai kelab impiannya sejak kecil itu.

“Kylian Mbappe kini telah memaklumkan kepada PSG bahawa dia akan meninggalkan kelab pada bulan Julai,” ujar wartawan sukan terkenal dunia, Fabrizio Romano.

“Semua syarat perlepasan masih belum dipersetujui sepenuhnya tetapi dia akan meninggalkan Paris pada musim panas. Kylian masih belum memenuhi komitmennya kepada kelab tetapi dia akan pergi.”

“Ia sudah berakhir antara Paris Saint-Germain dan Mbappe,” tambah beliau lagi.

Menyertai PSG pada musim 2017/18 secara pinjaman dengan pilihan pembelian mandatori bernilai €180 juta menyaksikan Kylian Mbappe telah membuat 290 penampilan.

Daripada 290 penampilan tersebut, beliau berjaya meledakkan 243 gol dan mencipta 105 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai.

Meskipun pelbagai kejayaan telah dimenangi di peringkat domestik dan antarabangsa bersama Perancis, Mbappe masih belum mampu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Mungkinkah rezeki beliau untuk menamatkan penantian tersebut bersama Real Madrid? Menarik untuk disaksikan.