Selepas mencipta sensasi dengan menyertai Real Madrid secara percuma, Kylian Mbappe semakin hampir untuk menjadi salah seorang daripada pemilik pasukan termuda di Eropah.
Hal ini kerana bintang berusia 25 tahun itu akan bergelar pemilik majoriti kepada kelab saingan Ligue 2 iaitu Stade Malherbe Caen.
Baca Juga:
- Mbappe Sedia ‘Berperang’ Dengan PSG Tuntut Pembayaran Gaji
- Kylian Mbappé Sah Sertai Real Madrid
- Kylian Mbappé: Euro Kali Ini Paling Mengecewakan
Menurut sumber laporan Goal, pemenang Piala Dunia 2018 itu hanya perlu membayar sebanyak £17 juta untuk membeli sebahagian besar saham Caen.
Manakala, Pierre-Antoine Capton yang merupakan penerbit filem pula akan memegang baki saham yang dilaporkan bernilai £4.2 juta.
Caen merupakan sebuah kelab yang dekat dengan Mbappe kerana hampir menandatangani kontrak bersama kelab tersebut ketika beliau masih muda selepas kelab tersebut melihat potensinya untuk menjadi bintang masa depan.
Malah keluarga beliau juga menganggap ia sebagai persekitaran yang sihat dan terlindung untuk pemain muda tersebut. Namun, semua itu berakhir tanpa sebarang persetujuan selepas Caen jatuh ke saingan Ligue 2.
Mbappe kini telah menjadi pemain dengan pendapatan tertinggi di Real Madrid dengan gaji bersih yang dilaporkan sebanyak £13 juta.
Ia menunjukkan penurunan yang ketara daripada kontraknya ketika di Paris Saint-Germain, tetapi bonus tandatangan yang bernilai lebih daripada £84 juta sepanjang tempoh kontraknya dijangka akan mengimbangi kerugian tersebut.
Pada awal tahun 2024, Forbes menilai pelbagai perjanjian tajaan beliau bernilai £16 juta sekali gus menjadikannya sebagai seorang individu yang sangat kaya.