Rakyat Malaysia sememangnya cukup dikenali sebagai warga yang bersifat lemah-lebih dan sopan-santun. Bagaimanapun kesesakan lalu lintas yang teruk boleh menyebabkan sifat itu hilang dan rakyat Malaysia menjadi semakin hilang sabar.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, situasi terpaksa berada dalam kenderaan bagi tempoh yang lama terutama ketika memulakan hari dan selepas penat bekerja menimbulkan kegelisahan dalam diri seseorang.
Baca Juga:
- Empat Acara Besar Berlangsung, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Jumaat Ini
- Bintang Filem Hong Kong Akui ‘Suka’ Dengan Kesesakan Jalan Di Kuala Lumpur
- DBKL Bakal Perluas Pelaksanaan Laluan Kontra Untuk Atasi Kesesakan Pada Waktu Puncak
“Kesabaran pemandu mudah hilang apatah lagi kalau ada pengguna lain yang tidak mengikut peraturan terutamanya semasa kesesakan lalu lintas menyebabkan mereka mudah ‘meletup’.
“Lebih teruk jika pengguna jalan raya ini mempunyai masalah kesihatan seperti depresi, stres dan kebimbangan melampau.
“Keadaan ini mempengaruhi tingkah laku di jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya lagi, tekanan hidup sehingga mengganggu emosi turut menjadi penyumbang kepada perlakuan kurang beretika di jalan raya.
Individu yang mengalami gangguan emosi boleh bertindak agresif dan berisiko menyebabkan ketegangan sehingga tercetus pergaduhan dalam kalangan pengguna jalan raya yang lain.
Dr Fauziah juga menjelaskan bahawa kebergantungan tinggi terhadap kenderaan sendiri turut menyumbang kepada ketegangan tersebut yang disebabkan infrastruktur pengangkutan awam tidak dapat membantu untuk menuju satu destinasi ke satu destinasi.
Terdahulu, satu kajian mendapati pekerja sekitar Lembah Klang terpaksa ‘kerugian’ 44 jam sebulan kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.