Kemusnahan harta benda dapat dilihat dengan jelas, rumah hancur, kenderaan tunggang langgang dan jalan terputus apabila dilanda bencana alam. Ramai kehilangan tempat tinggal kerana kediaman mereka hancur dirempuh air deras. Mereka menjadi homeless sekelip mata dan amat memerlukan bantuan bagi membina semula kehidupan. Itulah bayangan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir baru-baru ini. Malah, banjir masih belum reda semasa artikel ini ditulis.

Ya, sekarang mangsa-mangsa banjir ditempatkan di pusat penempatan sementara atau menumpang di rumah saudara dan rakan. Persoalannya, bagaimana kehidupan mereka selepas ini? Dua isu utama yang biasa dihadapi bencana alam yang besar ialah:

1. Isu penempatan semula sebilangan besar mangsa banjir, dan
2. Masalah longgokan sampah yang dihanyutkan banjir.

Kedua-dua isu ini mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan kembali.

10 tahun lalu, utara Malaysia turut terkena tempias mega tsunami di hujung tahun 2004. Menurut petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2005 bertajuk Bina Rumah tetap mangsa guna dana TBN, kerajaan menggunakan dana daripada Tabung Bencana Negara (TBN) untuk membina rumah tetap mangsa ombak besar tsunami di negara ini supaya mereka tidak dibebankan dengan bayaran balik pinjaman. Rumah yang dibina itu berkonsepkan ‘rumah mesra rakyat’ dan bayaran balik yang dikenakan kepada pembeli amat berpatutan. Setiap mangsa yang terkorban dalam tragedi itu menerima RM20,000 yang dikreditkan di dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN). Langkah-langkah bantuan itu mendapat pujian dari Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Asia Timur dan Pasifik, James A. Kelly yang melawat negara ketika itu.

Semua itu dikelolakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri dan memegang amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara. Semoga mangsa-mangsa bencana banjir luar biasa pada tahun 2014 ini mendapat sokongan dan bantuan yang sewajarnya terutama untuk membina semula kehidupan mereka dari trauma ini.

Kajian ke atas kawasan penempatan semula mangsa tsunami di Malaysia yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari UKM pula mendapati program pembaikan rumah dan penempatan semula mangsa tsunami sepatutnya bertujuan bukan hanya untuk memberi kemudahan rumah kediaman sahaja tetapi juga perlu digandingkan dengan usaha meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan sosial mereka apabila kekurangan kepada perkhidmatan asas masih lagi rendah berbanding sebelumnya menyukarkan kehidupan dan merendahkan tahap kesejahteraan mereka.

Maka, diharapkan langkah-langkah bantuan dan post-mortem pada peristiwa tsunami 2004 boleh dijadikan panduan bagi membantu mangsa-mangsa banjir luar biasa 2014 ini.

Sumber: www.kpkt.gov.my, Free Malaysia Today, Journal Article UKM
Kredit foto: Bernama

LIKE Facebook The Vocket disini