Salah seorang jurulatih dari Eropah berkongsi langkah untuk meningkatkan kualiti serta kemampuan anak tempatan di Malaysia bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada skuad kebangsaan.

Ketika ini, pemain warisan menjadi perbincangan di kalangan peminat bola sepak tanah air selepas tular satu senarai pemain yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Malaysia di laman media sosial.

Baca Juga:

Ramai yang mahu pemain dalam senarai tersebut untuk beraksi bersama skuad kebangsaan sekaligus mencetuskan perdebatan antara peminat yang menyokong gerakan tersebut dan peminat yang menentang.

Salah seorang jurulatih dari Eropah iaitu Chris Steel kemudiannya berkongsi langkah yang perlu dilakukan agar pemain tempatan tidak disisihkan dari skuad kebangsaan.

“Kalau Malaysia mahu membangunkan anak tempatan, mereka perlu merangka semula bola sepak di peringkat akar umbi. Dapatkan seorang ketua yang menjalankan kerja dan bukannya seorang yang hanya mengisi jawatan.

“Selesaikan isu perkauman. Saya diberitahu kaum India dan Cina tidak begitu berminat dengan bola sepak. Sebab itulah banyak pasukan akar umbi hanya dibarisi satu kaum sahaja.

“Dapatkan pekerja atau jurulatih yang mampu menjalankan tugas dengan baik dan bukannya ‘pak turut’. Perbaiki program diet sedia ada dan juga fasiliti untuk pemain.

“Mereka perlu mempunyai liga yang lebih tersusun dan bukannya liga yang ‘sekadar ada’ pada hari sabtu dan ahad.

“Selain itu, basmi insiden seperti penderaan dari segi fizikal, lisan dan emosi pemain dan jurulatih. Hukuman tegas perlu dijatuhkan sekiranya perkara ini terjadi.

“Pihak kelab pula perlu memperbaiki akademi, kurikulum, fasiliti, kelengkapan, program dan juga sistem pengambilan pemain.

“Mengambil pemain naturalisasi yang sudah berumur lebih 30 tahun bukanlah cara yang betul untuk maju ke hadapan. Malaysia mempunyai peminat yang fanatik dan mereka layak untuk mempunyai liga serta skuad kebangsaan yang bagus,” katanya.