Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lapan individu yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah RM2 juta berkaitan penjualan tanah milik FELDA di Bukit Katil, Melaka.
Menurut Berita Harian, mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an terdiri daripada tiga broker, dua orang awam, dua pegawai bank, dan seorang pengarah syarikat.
Penahanan dilakukan di sekitar ibu negara dan Sabah antara jam 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi.
Lima daripada suspek yang ditahan di ibu negara telah dibawa ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.
Majistret Lili Marisqa Khalizan membenarkan mereka direman selama tujuh hari sehingga 17 Jun.
Sementara itu, tiga lagi suspek, termasuk dua wanita yang ditahan di Sabah, direman selama enam hari sehingga 16 Jun oleh Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Menurut sumber SPRM, skandal ini melibatkan tiga broker yang bekerjasama dengan pengarah syarikat dan dua orang awam sebagai orang tengah.
Mereka didakwa memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank untuk membantu meluluskan pembukaan akaun bank atas nama FELDA.
Akaun tersebut digunakan untuk menipu pembeli yang mempercayai urus niaga tanah tersebut adalah sah dan tulen.
“Akaun bank yang dibuka atas nama FELDA ini bertujuan untuk memancing kepercayaan pembeli, yang menyangkakan urus niaga penjualan tanah ini adalah tulen daripada FELDA, seterusnya membuat pembayaran ke dalam akaun berkenaan,” kata sumber itu.
Skandal ini menyebabkan tanah seluas kira-kira 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil telah dijual pada tahun 2023.
SPRM juga telah membekukan hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat yang terlibat, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM28 juta.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan kesemua suspek.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).