Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar menjadi lautan manusia apabila ribuan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia bersatu untuk meraikan Latihan Pestapora Malaysia 2025, sebuah festival muzik mega yang buat julung kalinya dianjurkan di negara ini.

Acara yang berlangsung penuh warna-warni ini merupakan hasil kerjasama dua nama besar dalam industri hiburan serantau iaitu Hitman Solutions dan Boss Creator dengan misi menjadikan Malaysia sebagai medan pemanas badan menjelang festival utama Pestapora Jakarta 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 7 September nanti.

pestapora

Lebih daripada sekadar konsert, Latihan Pestapora tampil sebagai platform kolaborasi budaya antara dua negara serumpun, mempersembahkan lebih 25 artis dari pelbagai genre di dua pentas utama — Main Stage dan Hingar Bingar.

Dari pop ke rock, hip-hop ke dangdut, setiap persembahan menyalakan semangat persaudaraan serantau yang kian kuat dipupuk menerusi muzik.

Kemunculan Semula Sheila On 7

Momen paling menggetarkan pastinya kemunculan Sheila On 7, yang kembali menggamatkan pentas Malaysia selepas lebih satu dekad menyepi.

Seawal intro lagu pertama, ribuan peminat sudah bersatu suara menyanyikan lagu-lagu ikonik mereka seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia dan Sahabat Sejati.

pestapora

Reaksi luar biasa itu menandakan betapa utuhnya kasih peminat Malaysia terhadap band legenda dari Yogyakarta ini.

Selain itu, pentas juga dimeriahkan dengan barisan artis ternama dan bakat alternatif dari kedua-dua negara seperti Pamungkas, Hindia, .Feast, Kunto Aji, Feel Koplo, Barasuara x Efek Rumah Kaca, serta nama-nama Malaysia seperti Bittersweet, Dolla, Bunkface, Sonaone, Yonnyboii dan ramai lagi.

Vibe Serantau, Rasa Tempatan

Walaupun membawakan semangat asli Pestapora Jakarta, edisi Malaysia tampil dengan cita rasa tersendiri.

Vendor makanan tempatan yang menampilkan pelbagai juadah ikonik Malaysia, ruang interaktif serta ‘Instagrammable spots’ menjadikan acara ini mesra untuk semua peringkat usia – daripada peminat muzik tegar hingga ke keluarga yang mahu berhibur bersama.

pestapora

Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, kejayaan penganjuran ini adalah bukti bahawa Malaysia bukan saja bersedia, malah mampu menjadi tuan rumah festival muzik bertaraf antarabangsa.

Pestapora Malaysia Bakal Jadi Acara Tahunan?

Lebih menarik, kejayaan ini membuka ruang kepada sesuatu yang lebih besar.

Pihak penganjur menyatakan hasrat menjadikan Latihan Pestapora Malaysia sebagai acara tahunan.

Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator menyatakan, “Tahun demi tahun, kita lihat peminat Malaysia terbang ke Jakarta demi Pestapora. Kini tiba masa kami bawa pengalaman itu ke sini. Sambutan luar biasa ini buktikan bahawa festival ini ada ‘jiwa’ sendiri di Malaysia.”

“Kami yakin ini hanyalah permulaan. Dengan sokongan luar biasa, kami bersemangat untuk memperluas skala penganjuran dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi seni rentas negara,” jelas Rohit Rampal. 

Mesej beliau jelas – ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu pergerakan budaya yang menyatukan rakyat dua negara melalui irama dan lirik.