Kapten Inter Milan, Lautaro Martinez meminta pemain yang tiada hati bermain untuk kelab itu agar berambus. Dia dipercayai menujukan sindiran tajam itu kepada Hakan Calhanoglu.

Dia kecewa dengan kekalahan Inter Milan di tangan Fluminese pada pusingan 16 akhir Piala Dunia Kelab 2025. Ini kerana ada pemain yang menurutnya sudah tiada hati di Inter Millan dan memikirkan perpindahan ke kelab lain.

“Kami pastinya tidak berada dalam perlawanan pada separuh masa pertama, kami melepaskan satu gol dan memberikan bola terlalu banyak kali,” kata pemain Argentina itu kepada Sport Mediaset.

“Fluminense bertahan dengan dalam dan baik, cuba melakukan serangan balas. Kami melakukan lebih baik pada separuh masa kedua, kami memberikan yang terbaik. Ia sangat panas, kami keletihan secara mental, kami kehilangan banyak pemain.

“Saya memohon maaf kepada peminat dan semua orang yang datang ke sini untuk menonton kami.

“Sekarang kami mesti fokus pada rehat dan membuat persediaan untuk musim depan dengan cara terbaik.”

Lautaro Martinez menyerang Calhanoglu

Piala Dunia Kelab ini juga merupakan peluang pertama untuk bekerjasama dengan jurulatih baharu Cristian Chivu, yang mengambil alih tugas selepas Simone Inzaghi pergi untuk memulakan pengalaman baharu bersama Al-Hilal.

Bagaimanapun, Lautaro Martinez nampaknya menyasarkan mesej yang kuat kepada rakan sepasukan Calhanoglu, yang dilaporkan mendesak untuk perpindahan ke Galatasaray.

“Jurulatih memberi kami dorongan kuat, walaupun hari ini kami keluar dari pertandingan. Kami mempunyai mesej yang jelas: sesiapa yang mahu kekal mesti kekal, sesiapa yang tidak mahu kekal di sini harus pergi.

“Kami mewakili kelab penting dan mesti mencabar untuk objektif penting.

“Saya hanya katakan secara umum. Ia adalah musim yang panjang dan memenatkan, kami menamatkannya dengan tangan kosong.

“Ia adalah mesej secara umum. Untuk kekal di atas sana dan berjuang untuk kejuaraan, kami mesti bersemangat, kami mesti menjadi skuad seperti kami pada tahun Scudetto kedua. Kami perlu membina semula dari sana.

“Saya tidak akan menyebut nama. Kami di sini untuk memberikan yang terbaik, tetapi saya melihat banyak perkara yang saya tidak suka. Saya kapten, saya ketua kumpulan, jadi saya perlu bersuara.

“Mesejnya jelas: mereka yang mahu kekal dan terus mencabar trofi penting boleh berbuat demikian, jika tidak, selamat tinggal.”

Presiden Inter Milan, Marotta mengesahkan sendiri bahawa Lautaro Martinez sindir Hakan Calhanoglou dalam kenyataannya itu.

“Mesej Lautaro tentang pemain yang mahu angkat kaki? Dia tak akan terus terang, namun biar saya berterus terang. Itu ditujukan kepada Hakan Calhanoglou.

“Kami akan bercakap dengan Hakan. Sama ada terdapat syarat untuk berpisah, kami akan melakukannya tanpa sebarang masalah,” tegas Marotta.