Sejak 21 Julai lalu lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpan (HS) Gunung Benum, di sini, ditebang dalam tempoh 18 hari ‘Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian’.
Memetik Berita Harian, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, berkata operasi penguatkuasaan bersepadu kali ini membabitkan kawasan Hutan Simpan (HS) Gunung Benum seluas 250 hektar yang mengambil masa secara berterusan selama dua bulan.
Baca Juga:
- ‘Tiga Golongan Ini Kena Had Makan Durian Jika Ada Risiko Kesihatan’ – Pakar

- Tauke Durian Black Thorn Dari Pulau Pinang Terkejut Dapat Gelaran ‘Datuk’

- Durian Musang King Malaysia Disahkan Sebagai ‘King Of Kings’

Antara pokok durian yang ditebang adalah daripada jenis Musang King, D24, IOI dan durian kampung.
Dalam pada itu, pokok petai, rambutan, manggis serta beberapa pokok buah-buahan lain yang berada dalam hutan simpan itu turut ditebang.
Difahamkan operasi kali ini mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rela.
“Aktiviti rondaan mengesan pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan dilakukan 24 jam.
“Sejak operasi penguatkuasaan dilakukan, kita tidak dapat bantahan atau ancaman daripada pekebun, malah mereka akur dengan tindakan jabatan yang tegas memusnahkan tanaman mereka yang ditanam atas tanah diceroboh secara haram.
“Kita juga sudah mengedarkan notis pengosongan tanah penerokaan HS Gunung Benum yang dilakukan tanpa kebenaran pada 18 Julai lalu, dengan menyatakan pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, di sini hari ini.