Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff menyatakan muatan simen melebihi had disyaki menjadi punca kerosakan tayar pada lori yang menyebabkan nahas mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, pada Disember tahun lalu.

Menurutnya kesalahan itu menyebabkan syarikat lori jenis Foton itu bakal diheret ke Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini, petik Malaysia Gazette.

Baca Juga:

“Hasil siasatan kita dapati antara sebab utama berlaku kerosakan pada (tayar) kenderaan itu akibat membawa lebih muatan serbuk simen OPC sebanyak 31 peratus atau 16,260 kilogram (16.2 tan) daripada had yang dibenarkan.

“Kita akan tuduh syarikat di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 selain kenderaan boleh dilucuthakan di bawah Seksyen 80(4) akta sama,” katanya.

Syarikat berkenaan akan dituduh kali pertama di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini di bawah dua seksyen berkenaan.

“Selain itu saman juga telah diserahkan kepada pemilik syarikat pada 7 Februari lalu,” tambahnya lagi.

Terdahulu, nahas pada Disember tahun lalu membabitkan sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala selatan, sementara sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju arah utara.