Lebuhraya Baru Pantai (NPE) nampaknya telah pun mula menempatkan terminal kad pembayaran di plaza tol sebagai persediaan untuk pelancaran sistem bayaran terbuka bagi pembayaran tol akan datang.

Menerusi laporan Soyacincau, mereka berjaya menemui terminal kad pembayaran di salah satu laluan yang didedikasikan untuk TNG ketika berada di Plaza Tol PJS5 lebuhraya menghala ke Petaling Jaya.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Soyacincau

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, terminal kad pembayaran itu telah pun ditempatkan bersebelahan sistem pembayaran Touch n’ Go. Setakat ini, terminal kad pembayaran ini sudah dihidupkan namun belum diaktifkan bagi urusan pembayaran tol.

Mesin itu bagaimanapun sedia memaparkan logo pengeluarnya, PAX Technology yang berpengkalan di Shenzhen, China. Dengan membuat carian mendalam, terminal kad pembayaran ini dinamakan IM30 yang mana menyokong pelbagai jenis pembayaran secara tanpa sentuh.

Sumber Gambar: PAX technolgy

Malah, terdapat kamera kecil yang juga berfungsi untuk mengimbas kod QR bagi tujuan pembayaran. IM30 ini datang dengan skrin 5-inci beresolusi 720P serta mempunyai keterangan setinggi 600nits bagi memastikan paparan boleh dilihat dengan jelas pada setiap masa.

Dengan adanya ciri kamera sudah pasti membuka peluang untuk plaza tol menyokong secara langsung perkhidmatan eWallet berasaskan QR dan aplikasi perbankan sebagai pilihan pembayaran kelak.

Secara umumnya, pemasangan terminal kad di Lebuhraya Baru Pantai untuk pembayaran tol bukanlah suatu yang mengejutkan kerana dalam tempoh dua bulan setengah lagi sepatutnya sistem pembayaran terbuka sudah berjalan seperti yang dirancangkan.

Sumber