Sebuah kereta mewah Bugatti Chiron bernilai jutaan euro milik Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac, Mate Rimac, dilaporkan dilarikan seorang lelaki dari pekarangan kampus syarikatnya di Croatia sebelum suspek berjaya ditahan oleh pihak berkuasa di Austria selepas insiden mengejar merentas sempadan.

Insiden mengejutkan itu disahkan sendiri oleh Mate Rimac menerusi satu perkongsian video selepas berita mengenai kehilangan jentera berprestasi tinggi berkenaan tular di media antarabangsa.

Menurut Rimac, kejadian berpunca daripada kebiasaannya meninggalkan kunci di dalam kenderaan memandangkan kawasan persekitaran kampus syarikatnya di Croatia sentiasa terbuka dan dianggap sangat selamat.

“Percaya atau tidak, ya, kereta itu sememangnya dicuri semalam. Di Croatia, keadaannya sangat selamat dan saya sudah bertahun-tahun membiasakan diri meninggalkan kunci di dalam kereta, termasuk model Chiron dan Nevera, kerana rakan sekerja sering menggunakannya untuk tujuan ujian,” kata beliau.

Kehilangan jentera tersebut hanya disedari selepas seorang saksi memaklumkan kepada kakitangan syarikat bahawa dia melihat seorang individu tidak dikenali memandu kereta terbabit keluar dari kawasan kampus tanpa pagar itu.

“Kumpulan sembang mula kecoh dengan mesej: ‘Hei, kamu ada nampak Chiron? Tiada. Kamu nampak? Tiada. Chiron tiada, kereta dicuri!’ Kami segera menghubungi polis dan pada masa sama menyemak data telemetri kenderaan,” jelas Rimac mengenai detik cemas berkenaan.

Data telemetri masa nyata yang memaparkan kelajuan, lokasi, dan paras bahan api menunjukkan kereta tersebut sedang menuju ke sempadan Slovenia.

Selepas menyedari suspek mempunyai kelebihan masa perjalanan selama satu jam, Rimac bertindak memandu kereta Porsche 911 miliknya untuk mengejar suspek, sambil menyelaraskan maklumat lokasi terkini melalui kumpulan sembang bersama pasukan polis.

Suspek dilaporkan sempat melepasi sempadan Slovenia dan memasuki Austria. Walaupun kehabisan bahan api dan sempat mengisi minyak di sebuah stesen minyak tanpa membuat bayaran, gerakan suspek akhirnya ditamatkan apabila Polis Austria berjaya mengepung serta menahan lelaki berkenaan hasil maklumat penjejakan langsung yang disalurkan.

Setibanya di balai polis, Rimac berpeluang bersemuka sendiri dengan suspek, seorang lelaki tempatan Croatia berusia pertengahan 30-an yang dilaporkan mempunyai latar belakang bermasalah.

“Dia datang ke syarikat pada asalnya untuk memohon pekerjaan. Kemudian dia berkata kepada saya: ‘Ya, tetapi saya nampak kereta itu dan kuncinya ada di dalam, seolah-olah ia salah awak, jadi saya terus ambil kereta itu dan bercadang mahu ke Jerman.’

“Mengapa anda mencuri sebuah Bugatti? Hakikat bahawa dia bertindak mencuri Bugatti menunjukkan lelaki ini sememangnya sedang berdepan masalah peribadi yang berat,” ujar Rimac.

Rimac menyatakan bahawa beliau secara peribadi tidak berniat untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap suspek, selain mengesahkan kerosakan kecil pada keretanya boleh dibaiki dan tiada kemalangan jiwa berlaku. Bagaimanapun, disebabkan nilai kenderaan yang mencecah jutaan euro, suspek tetap akan didakwa di bawah bidang kuasa undang-undang pihak polis Croatia dan Austria.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman luar biasa itu, Rimac menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu peristiwa menarik dan tidak masuk akal yang memberi pengajaran berguna kepada pihaknya, selain memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi perbuatan sia-sia tersebut.

“Ia sesuatu yang menarik dan gila. Saya dan rakan-rakan kini mempunyai satu lagi kisah untuk diceritakan. Mulai sekarang, kami tidak akan lagi meninggalkan kunci merata-rata di sekitar kilang, jadi jangan sesekali cuba melakukannya.

“Itulah kisah mengenai Chiron yang dicuri. Jangan cuba melakukannya — kami memiliki semua data dan anda sebenarnya tidak boleh berbuat apa-apa terhadap kereta itu tanpa kami,” tegas beliau mengakhiri perkongsiannya.

Sumber