Gara-gara tidak berpuas hati dengan bunyi ekzos motosikal yang kuat sehingga mengejutkan bayinya, seorang lelaki bertindak belasah seorang penunggang motosikal di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, di Mersing.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi pada Jumaat lalu dan video berdurasi satu minit 45 saat berhubung kejadian itu kemudian tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati suspek yang juga lelaki tempatan berusia 29 tahun berang selepas mendakwa mangsa, 19, memotong kenderaan yang dinaikinya sebelum membunyikan ekzos dengan kuat.

Menurutnya, bunyi tersebut menyebabkan bayi yang sedang dipangku isteri suspek terjaga dan menangis.

Suspek kemudian bertindak memukul mangsa sehingga mangsa mendapatkan rawatan di hospital. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pipi kiri dan perut.

“Suspek kemudian bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Abdul Razak berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk tindakan lanjut.

Suspek diarahkan untuk dituduh di Mahkamah Majistret Mersing dan pertuduhan dijadualkan dibuat hari ini.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali – lapor Berita Harian.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi kerana tindakan sedemikian akhirnya boleh memudaratkan diri sendiri.