Dalam mencari erti sebenar jati diri sebagai rakyat Malaysia, seorang pemuda berbangsa Cina dari Johor baru-baru ini mencuri perhatian warga maya selepas menyatakan hasrat luar biasanya untuk berhijrah ke perkampungan tradisional di Terengganu.

Keputusan itu diambil bukan kerana tuntutan kerja, sebaliknya atas keinginan mendalam untuk keluar dari zon selesa dan menyelami sepenuhnya cara hidup masyarakat Melayu di Pantai Timur.

Refleksi Selepas Kembali dari Luar Negara

Lelaki Berbangsa Cina Nekad Pindah Terengganu: 'Saya Nak Hidup, Makan & Bernafas Macam Orang Melayu'
Sumber Gambar: FB

Menurut hantaran tular pemuda tersebut, keinginan itu timbul selepas beliau pulang dari Australia dan mula melakukan refleksi diri.

Pemuda itu menyedari bahawa sepanjang hayatnya di Johor, Kuala Lumpur, dan Selangor, beliau lebih banyak menghabiskan masa dalam kelompok komuniti sendiri.

“Tiada apa yang salah dengan perkara itu, ia sebahagian daripada hidup saya. Namun kali ini, saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Saya mahu tinggal di tempat yang majoritinya orang Melayu supaya saya dapat merasai pengalaman budaya yang sebenar,” katanya.

Mengapa Terengganu Menjadi Pilihan?

Pemuda ini memilih Terengganu atas faktor demografi negeri tersebut yang mempunyai kepadatan penduduk Melayu tertinggi di Malaysia, iaitu sekitar 97 peratus.

Baginya, Terengganu adalah lokasi paling ideal untuk beliau ‘belajar’ menjadi sebahagian daripada masyarakat lokal.

Dia meletakkan matlamat yang cukup jelas dan puitis bagi penghijrahannya kali ini untuk hidup, makan, berfikir dan bernafas seperti orang melayu.

Mencari Bilik Sewa di Jantung Kampung

Uniknya, pemuda ini tidak mencari pangsapuri mewah atau kawasan bandar. Malah, dirinya secara terbuka memohon bantuan netizen untuk mencari bilik sewa di kawasan “paling kampung”, malah tidak berasa kekok jika perlu tinggal bersama keluarga angkat seperti pak cik atau mak cik di sana.

“Saya tidak kisah tinggal dengan pak cik dan mak cik. Sejujurnya, itu lebih baik. Saya mahu menjalani kehidupan kampung, mencari pekerjaan kecil, dan menetap di sana untuk tempoh tiga hingga enam bulan bagi menimba pengalaman,” tambahnya lagi.

Harapan Melalui ‘Kuasa Internet’

Bagi meyakinkan bakal tuan rumah, beliau menegaskan bahawa beliau adalah seorang individu yang menghormati privasi, tidak mengambil alkohol, dan komited untuk mematuhi norma masyarakat setempat.

Kisah ini mendapat reaksi positif daripada rata-rata netizen yang memuji keberanian dan sikap keterbukaan beliau dalam menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia.

Ramai yang menyifatkan langkah ini sebagai simbol keharmonian yang sebenar, di mana tembok perbezaan diruntuhkan melalui keinginan untuk saling memahami.

Adakah “mimpi kecil” pemuda ini akan menjadi kenyataan? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya daripada warga Terengganu yang terkenal dengan sifat pemurah dan mesra tetamu.

Dalam perkembangan terkini, dia sangat bersyukur melihat maklum balas yang positif dari orang ramai dan timbul rasa tersentuh hati dengan sifat keterbukaan warga tempatan yang sudi mereliasasikan impiannya itu.

Buat masa ini, dia bercadang mahu melawat ke Terengganu untuk menerokai kawasan terlebih dahulu sementara mencari tempat tinggal yang sesuai.

“Terima kasih sekali lagi kepada orang Terengganu dan juga seluruh rakyat Malaysia. Saya benar-benar menghargai kebaikan anda semua. Jumpa di Terengganu nanti.”