Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menyatakan lelaki yang berpakaian ikan duyung di sebuah gerai menjual air balang sudah ditangkap kelmarin untuk diambil keterangan.
Lelaki berusia 24 tahun yang ditahan di kawasan rumahnya di Kampung Chetok, Pasir Mas itu turut mengaku menerima upah RM200 untuk membuat konten tersebut.
Bagaimanapun lelaki terbabit dibebaskan dengan bon jaminan sebaik keterangan diambil, petik Harian Metro.
“Merujuk kepada video yang tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti duyung, kita sudah merekodkan keterangan suspek dan siasatan sudah dibuka.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan kerana berpakaian seperti wanita dan perbuatan tidak sopan. Suspek perlu hadir semula pada 8 Jun.
“Hasil keterangan diambil, lelaki terbabit dikatakan menerima upah daripada pemilik gerai air balang berkenaan sebanyak RM200 bagi membuat konten untuk jualan berkenaan.
“Rakaman berkenaan dikatakan dibuat sehari sebelum Ramadan, namun hanya dimuat naik di media sosial pada hari pertama Ramadan,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.