Seorang lelaki telah dianugerahkan kira-kira $12,500 (sekitar RM58,000) setelah kamera Google Street View merakam gambarnya dalam keadaan bogel di halaman rumahnya.

Insiden yang memaparkan bahagian belakang badan lelaki tersebut tersebar di internet untuk tatapan umum, lapor CBS News.

Lelaki 'Bogel' Dirakam Google Street View Dianugerahkan RM58,000
Sumber Gambar: Jacarandafam

Media itu melaporkan bahawa lelaki tersebut merupakan seorang anggota polis.

Beliau menyatakan bahawa dia berada di belakang tembok setinggi 6 1/2 kaki (kira-kira 2 meter) apabila kamera Google merakam gambarnya di sebuah pekan kecil di Argentina pada tahun 2017.

Nombor rumah, nama jalan, dan imej punggungnya yang terdedah telah disiarkan di TV Argentina dan menjadi tular di media sosial. Anggota polis tersebut mendakwa insiden itu telah menyebabkan kemudaratan kepada maruah dirinya.

Mahkamah sebelum ini telah menolak tuntutan ganti rugi lelaki itu pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, hakim rayuan memutuskan bahawa “maruah lelaki itu telah dicabuli secara terang-terangan”, dan menganugerahkan sejumlah wang dalam peso Argentina yang bersamaan dengan kira-kira $12,500 (sekitar RM58,000), yang perlu dibayar oleh Google.

Para hakim menegaskan, “tidak syak lagi bahawa dalam kes ini berlaku pencerobohan sewenang-wenangnya ke dalam kehidupan orang lain.”

Mereka mendapati bahawa “tiada justifikasi bagi (Google) untuk mengelak tanggungjawab atas kesalahan serius ini yang melibatkan pencerobohan ke dalam rumah plaintif, dalam domain peribadinya, sekali gus menjejaskan maruahnya.”

“Tiada siapa yang mahu kelihatan terdedah kepada dunia seperti hari mereka dilahirkan.”

Mahkamah juga menyatakan bahawa Google sering kali mengaburkan imej wajah orang dan plat lesen apabila dirakam oleh kamera Street View, sekali gus mengakui tanggungjawab mereka untuk mencegah kemudaratan kepada individu yang termasuk dalam imej mereka.

Walau bagaimanapun, dalam kes ini “bukan wajahnya yang kelihatan tetapi seluruh tubuh bogelnya, imej yang sepatutnya juga dielakkan daripada dirakam dan disiarkan.”