Seorang lelaki yang tidak dapat menahan diri daripada mencubit pipi seorang wanita telah didenda oleh Mahkamah Majistret Parit hari ini.

Selain denda, hakim turut memberi amaran keras kepadanya kerana gagal mengawal diri dan memalukan keluarga dengan tindakannya.

Memetik Sinar Harian, insiden itu dilaporkan berlaku pada 5 September, jam 4 petang di sebuah kedai runcit di Simpang 4 Bota Kanan, Perak Tengah.

Lelaki Cubit Pipi Wanita Tanpa Izin Didenda RM2,500
Sumber Gambar: Bernama

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu didakwa menyentuh pipi kiri wanita tersebut sebanyak dua kali ketika mangsa, seorang pekerja kedai runcit, sedang membuat kiraan di kaunter bayaran.

Walaupun telah dimarahi, lelaki itu tetap menyentuh dan mencubit pipi wanita tersebut. Akibatnya, mangsa trauma dan berasa takut untuk pergi bekerja.

Samsuri didakwa melakukan jenayah kekerasan ke atas seorang wanita berumur 23 tahun dengan tujuan mencabul kehormatannya.

Samsuri didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara itu, Majistret Nurul Izalina Rajaai juga menasihatkan Samsuri untuk menjaga batasan termasuk dengan orang dikenali.

“Kita semua ada kenalan masing-masing, tapi perlu menjaga batas. Dengan sesiapa pun, kalau bukan mahram, tidak perlu sentuh-sentuh pipi, sentuh tangan. Perbuatan kamu bukan setakat menjatuhkan maruah mangsa tetapi juga ahli keluarga kamu,” katanya.

Difahamkan Samsuri sudah pun menyelesaikan denda tersebut. Jagalah batasan pergaulan kerana di dalam agama sudah diletakkan garis panduan dalam perihal begini.