Dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah bilik hotel di Sibu pada Ahad lalu, apabila seorang lelaki bertindak kelar leher sendiri di hadapan teman wanitanya selepas pasangannya meminta untuk memutuskan hubungan.

Kejadian ini akhirnya meragut nyawa lelaki tersebut, meninggalkan kekasihnya dalam trauma yang mendalam.

Menurut laporan See Hua Daily News, insiden ini bermula apabila lelaki berkenaan menghubungi kekasihnya sehari sebelum kejadian untuk berbincang mengenai hubungan mereka yang semakin tegang.

Dia berharap dapat menyelamatkan hubungan tersebut, walaupun hubungan mereka mendapat tentangan kuat daripada ibu bapa teman wanitanya.

Pada pukul 2 petang, lelaki itu tiba di hotel berkenaan dan menempah sebuah bilik.

Teman wanitanya menyusul sejam kemudian.

Perbualan mereka bertukar emosi apabila wanita tersebut memaklumkan bahawa ibu bapanya tidak merestui hubungan mereka dan mencadangkan agar mereka berpisah.

Tidak dapat menerima cadangan tersebut, lelaki itu mula bertindak emosi.

Dalam keadaan tertekan, dia mengeluarkan sebilah pisau kecil dan mengancam untuk mengakhiri nyawanya sendiri jika wanita itu tetap berkeras untuk memutuskan hubungan.

Usaha teman wanitanya untuk memujuk gagal selepas lelaki tersebut nekad dengan tindakannya dan mengelar lehernya sendiri di hadapan wanita itu.

Panik dengan situasi tersebut, teman wanitanya berlari keluar dari bilik dan meminta bantuan daripada kakitangan hotel.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mendapati lelaki tersebut telah meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.

Polis, yang menerima laporan kejadian sekitar jam 4 petang, menemui mayat mangsa di dalam bilik dengan keadaan berlumuran darah dan dinding bilik yang dipenuhi percikan darah.

Menurut teman wanitanya, mereka telah menjalin hubungan selama beberapa tahun tetapi sering menghadapi halangan besar akibat tentangan daripada ibu bapanya.

Dia juga mendedahkan bahawa lelaki tersebut pernah mencederakan diri sendiri sebelum ini dan sering menghantar gambar luka-lukanya sebagai tanda tekanan emosi yang dialaminya.

Mayat lelaki tersebut telah dihantar ke bilik mayat untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian secara rasmi.