SPM bukanlah pengukur masa depan seseorang tetapi ia sangat penting untuk mengorak langkah ke tahap yang lebih baik di dalam kehidupan.

Agak terkesima melihat sebahagian individu yang memandang remeh sijil SPM dan berbangga menayang keputusan yang teruk di media sosial pada masa kini.

Baru-baru ini, tular sebuah tangkap layar  yang dipercayai dari ruangan komen TikTok memaparkan respons ‘bakar line’ seorang pak cik terhadap kenyataan seorang lelaki yang bangga mempunyai gaji lebih RM3,000 walaupun gagal SPM dan mendakwa SPM bukan segalanya.

“Aku gagal spm skarang gaji di company RM3,500 sebulan. SPM bukan segalanya…hahahaha,” komen sinis lelaki itu.

Komen itu lalu dibalas oleh seorang pak cik yang sempat memuji lelaki itu namun  mendedahkan anaknya mendapat keputusan SPM yang cemerlang kini memiliki kerjaya di luar negara dengan gaji lumayan.

“Alhamdulillah…tapi anak saya dapat straight A..sekarang kerja di luar negara…RM25,000 sebulan,” ujar pak cik dengan bersahaja.

Sumber Gambar: FB

Perkongsian tangkap layar berkenaan sememangnya menarik perhatian di media sosial dan rata-rata netizen meluahkan rasa geli hati selepas melihat respon pedas itu.

“Halus ayat counter dia hahaha,” tulis seorang netizen.

“SPM bukan segalanya tapi segalanya bermula dari SPM,” tulis seorang netizen lain.

“SPM tu penting. Kalau dah cuba tapi tak dapat result baik tak pe. Teruskan melangkah ke hadapan. Insyallah ada sinar yang akan datang. Paling kurang tak de letak terus SPM tidak penting,” nasihat seorang wanita.

Malah, mereka sangat bersetuju dengan kenyataan bahawa SPM  boleh mencorak masa depan seseorang. Sebagai bukti adalah menerusi komen yang ditinggalkan oleh mak cik berkenaan.

Sumber