Ketenangan di Tanah Suci Makkah terganggu pada Isnin lalu apabila Abdul Rozak, bapa kepada penyanyi tersohor Indonesia Ayu Ting-Ting, terlibat dalam satu insiden pertelingkahan dengan jemaah haji dari Malaysia, lapor Suara.
Abdul Rozak, yang lebih dikenali sebagai Ayah Ojak, didakwa bertikam lidah dengan jemaah Malaysia selepas negara Indonesia digelar sebagai negara miskin.

Menurut saksi kejadian, insiden tersebut bermula apabila Ayah Ojak mendengar perbualan beberapa jemaah haji Malaysia yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Indonesia.
Merasa tersinggung, Ayah Ojak dengan segera mempertahankan maruah negaranya.
Dalam perbalahannya, beliau menegaskan bahawa ramai pekerja di Malaysia adalah warga Indonesia dan kebanyakan mereka telah mencapai kejayaan yang membanggakan.
“Jangan hina negara saya. Saya Indonesia. Terdapat ramai orang yang berjaya bukan hanya di Malaysia,” tegas Ayah Ojak dengan nada berang.
Ayah Ojak juga memberikan amaran keras kepada sesiapa yang menghina Indonesia supaya lebih berhati-hati dengan kata-kata mereka.
Situasi menjadi semakin tegang sebelum beberapa jemaah lain campur tangan untuk meredakan keadaan.
Insiden ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan jemaah haji yang lain, dengan ada yang menyokong tindakan Ayah Ojak manakala yang lain merasa kecewa kerana pertelingkahan sebegini berlaku di tanah suci yang seharusnya menjadi tempat ibadah dan ketenangan.