Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu benda wajib yang majikan perlu lakukan bagi setiap pekerja yang dilantik.
Namun, ada segelintir majikan seperti memandang enteng perkara itu dan sanggup menganiaya pekerja dengan tidak membayar caruman KWSP seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang di negara ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok bernama @Farezadnanofficial, dia mendakwa sebuah tadika terkenal tergamak membuat penganiayaan terhadap guru dengan tidak mencarum KWSP selama bertahun-tahun.
Dia mendakwa anak saudaranya yang bekerja di tadika tersebut sudah membuat laporan polis namun malangnya masih tiada tindakan yang diambil.
“Korang tahu tak tadika terkenal sekarang aniaya cikgu-cikgu? Korang tahu tak dorang tak bayar KWSP berapa lama dah.
“Saya ada anak buah kerja situ. Dia pun dah buat report polis, ramai dah buat report polis tapi tiada apa-apa tindakan.
“Sekarang ni dah bertahun dorang tak bayar KWSP, lepas itu sekarang ni kesian sebab itu adalah hak mereka cikgu-cikgu, dan juga semua aunty-aunty yang ada kat situ,” dakwanya.
Namun begitu, individu bernama Farez enggan mendedahkan nama tadika tersebut secara umum kepada orang ramai tetapi dia memberi hint bahawa majikan tadika tersebut terlibat di dalam Quantum Metal (QM).
Susulan pendedahan itu, dia menyeru kepada guru terlibat untuk membuat aduan di pejabat buruh memandangkan mereka berhak untuk mendapatkan caruman KWSP setiap bulan mengikut kadar semasa yang telah ditetapkan.
“Eh korang tahu tak dapat tahu rupanya dia punya bos besar masuk dalam QM lepastu duit tak dapat-dapat, tak tahu lah saya tak tuduh ye.
“Saya tak nak sebut nama penuh tadika, saya sebut BB sahaja ye. Dia aniya ramai cikgu-cikgu, degarlah cakap saya ni pergilah pejabat buruh buat report tuntut hak anda,” katanya.
@farezadnanofficial SIAPA YANG TERLIBAT? Siapa teraniaya juga? Komen dan DM saya please.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terkejut dengan pihak pengurusan tadika terkenal itu kerana tampak islamik namun realitinya tidak menjaga kebajikan pekerja-pekerjanya.