Ramai yang menyangka dengan memiliki beberapa hartanah lain boleh disewakan untuk raih pendapatan pasif. Namun, ia tidak semudah yang disangka kerana setiap penyewa mempunyai kerenah tersendiri sekaligus boleh merungsingkan kepala pemilik.

Menerusi FB Abdul Latif Ab Razak, beliau berkongsi kisah ibu bapanya yang menerima penyewa dari neraka sekaligus mendorong kepada kerugian lebih ribuan ringgit.

Baca Juga:

Difahamkan rumah sewa terletak di Taman Cempaka, Ipoh yang sepatutnya raih pendapatan pasif itu bertukar menjadi mimpi ngeri.

Sumber Gambar: Abdul Latif Ab Razak
Sumber Gambar: Abdul Latif Ab Razak

Hal ini kerana keadaan rumah yang sudah terlalu kotor dengan timbunan sampah sarap dan mempunyai sejumlah kerosakan yang perlu dibaiki. Pada bahagina dinding pula sudah dipenuhi dengan contengan yang ditinggalkan oleh si penyewa tersebut.

Selain daripada itu, beliau memberitahu perlu menanggung kos pembersihan, tunggakan sewa, hutang bil air dan api serta kos baik pulih yang sudah mencecah RM6,000 yang mana bersamaan nilai sewaan selama setahun.

Lebih parah lagi, beliau dan sekeluarga sudah menghadapi insiden yang sama berulang-kali sepanjang melakukan bisnes rumah sewa itu.

Bagi beliau, tiada istilah kesian lagi kepada si penyewa  kerana sebahagian besarnya hanya mahu mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain. Jadi, pemilik hartanah perlu tegas bagi memastikan si penyewa mematuhi undang-undang yang ditetapkan menerusi perjanjian.

Oleh itu, beliau memberi peringatan kepada pemilik aset agar melantik penasihat hartanah untuk urusan sewa. Dengan ini, hak pemilik hartanah lebih terjamin kerana sesiapa perlu akur dengan perjanjian yang sudah dibuat selepas bersetuju untuk menyewa.

Pemilik hartanah juga perlu mengambil deposit, membuat perjanjian rasmi dan juga menyimpan maklumat penyewa kerana jika berlaku situasi sebegini boleh dibawa ke muka pengadilan.