Sejauh manakah kesanggupan anda dalam menyelamatkan barang berharga seperti telefon pintar? Malah, ada yang berpendapat untuk membeli baru sahaja jika sukar didapatkan atau hilang.

Tetapi berbeza buat individu bernama Rajesh Vishwas yang merupakan seorang pengawai makanan di negeri Chattisgarh telah mengambil tindakan di luar kotak. Beliau didakwa telah mengosongkan air dalam sebuah kolam takungan bagi menyelamatkan Samsung Galaxy S23 milik beliau.

Baca Juga:

Difahamkan telefon pintar beliau terjatuh ke dalam sebuah kolam takungan air sewaktu mahu mengambil gambar swafoto bersama kawannya. Beliau dilihat sangat bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan telefon pintar yang baharu dibelinya.

Sebanyak 2.1 juta liter air dipam keluar selama dua hari bagi mengurangkan ketinggian air sebanyak dua kaki bagi memudahkan telefon dicari di dasar kolam selepas percubaan awal mencarinya gagal.

Peranti berjaya ditemukan tetapi mengalami kerosakan kerana S23 Ultra memang tidak direka untuk tenggelam sedalam 10 kaki selama beberapa hari. Beliau turut mendakwa terpaksa berbuat sedemikian kerana telefon itu mengandungi data sensitif milik kerajaan.

Rajesh Vishwas kini digantung tugas kerana tindakan beliau membazirkan air yang boleh digunakan untuk tujuan pertanian. Beliau mengaku tidak bersalah kerana mendakwa air kolam takungan yang digunakan untuk orang berkelah dan bukannya pertanian.

Namun begitu, wakil kerajaan tempatan berkata beliau tidak mempunyai kuasa mengarahkan air dibuang serta dengan cuaca panas melampau di India sekarang air tersebut boleh digunakan oleh penduduk tempatan jika diperlukan.