Kisah ini kedengaran seperti plot filem komedi yang ironik, namun ia benar-benar berlaku di Singapura.
Seorang lelaki warga Itali berusia 24 tahun, Singh Deepak, kini terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tujuh bulan kerana berniat menipu sebuah kedai jam, walaupun akhirnya pemilik kedai tidak mengalami sebarang kerugian kewangan. Mengapa?
Kerana jam tangan Rolex yang disangkanya ‘palsu’ itu sebenarnya adalah tulen.
Keraguan yang Membawa Padah

Memetik CNA, Segalanya bermula apabila Singh membeli seutas jam tangan Rolex GMT Saru menggunakan campuran wang tunai dan barang kemas yang bernilai keseluruhan sekitar S$89,700 (kira-kira RM27,8755.31). Beliau pada asalnya yakin jam tersebut boleh dijual semula dengan harga yang jauh lebih tinggi, iaitu sekitar S$134,600 bersamaan RM418,278.79.
Namun, rakan-rakannya berasa curiga.
“Lebih baik kamu sahkan dahulu ketulenan jam ini,” nasihat rakan-rakannya kepada Singh.
Rolex GMT Saru bukanlah jam biasa, ia merupakan model eksklusif di luar katalog yang sangat sukar ditemui, dengan hanya sekitar 20 unit tulen dipercayai masih berada di pasaran.
Apabila Singh membawanya ke sebuah kedai jam untuk diperiksa, terdapat kesan ukiran laser pada nombor sirinya yang kelihatan sangat mencurigakan. Tanpa usul periksa lanjutan, Singh membuat kesimpulan muktamad bahawa beliau telah ditipu dan jam tersebut adalah palsu.
Rancangan Licik di Bencoolen Street
Didorong oleh rasa panik dan niat untuk meminimumkan kerugian, Singh merangka satu rancangan. Pada 27 November 2025, beliau terbang ke Singapura.
Keesokan harinya, tepat jam 2 petang, beliau melangkah masuk ke sebuah kedai jam di Bencoolen Street dengan gaya penuh yakin, mempamerkan jam Rolex tersebut berserta kad jaminannya kepada pengarah kedai.
Pengarah kedai itu terus mengecam jam tersebut sebagai model nadir yang bernilai sekitar S$120,000 (~RM372,965.16). Selepas proses tawar-menawar yang meyakinkan, mereka bersetuju dengan harga S$94,700 (~RM294,289.72).
Namun, Singh mempunyai rancangan lain. “Saya tidak mahu wang tunai,” kata Singh, dan sebaliknya meminta untuk menukar jam tersebut dengan tiga utas jam Rolex yang lain (model Submariner, GMT, dan Daytona) yang bernilai S$94,600 (~RM293,976.03) untuk dijual semula di Eropah.
Pengarah kedai bersetuju dan turut memberikannya wang tunai sebanyak S$300 (~RM932.27) sebagai ganti rugi ketiadaan kotak asal jam tersebut. Bagi memastikan identitinya tidak dikesan, Singh menyerahkan salinan pasport yang telah disunting menggunakan nama palsu “Sinsi Deepak” berserta gambar yang berbeza.
Pelarian yang Gagal dan Realiti Mengejutkan
Walaupun kad jaminan pada awalnya kelihatan asli, pengarah kedai tersebut mula berasa tidak sedap hati selepas transaksi selesai. Beliau meminta pandangan kedua daripada peruncit jam yang lain.
Selepas diteliti, mereka mendapati terdapat tanda-tanda nombor siri asal telah dibuang dan diganti dengan ukiran laser.
Dalam keadaan panik, pengarah kedai itu segera menghubungi Singh berkali-kali.
“Ya, saya akan kembali ke kedai sekarang,” bohong Singh apabila dihubungi, sedangkan hakikatnya dia sedang bersiap-sedia untuk melarikan diri dan menaiki penerbangan pulang ke Itali.
Namun, pihak polis bertindak pantas. Singh berjaya ditahan di Lapangan Terbang Changi pada malam yang sama, dan ketiga-tiga jam Rolex tersebut berjaya dirampas kembali.
Semua pihak pada waktu itu masih percaya bahawa jam Rolex GMT Saru tersebut adalah palsu, menyebabkan Singh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menipu.
Plot twist yang paling mengejutkan berlaku pada 3 Disember 2025, apabila jam tersebut dihantar ke Pusat Servis Rolex. Selepas ujian dan penelitian dilakukan, juruteknik mengesahkan penemuan yang tidak dijangka: jam tangan tersebut adalah 100% tulen dan asli!.
Tiada Kerugian, Tetapi Tetap Sebuah Jenayah
Kes ini akhirnya diklasifikasikan dari segi perundangan sebagai “percubaan mustahil” (impossible attempt)—satu situasi pelik di mana seseorang berniat melakukan jenayah, namun mustahil untuk disempurnakan kerana halangan fakta yang tidak diketahuinya.
Peguam bela Singh merayu agar hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya dan mangsa tidak mengalami kerugian kewangan, lebih-lebih lagi mengambil kira kesusahan yang bakal dialami keluarganya dari golongan pekerja di Itali.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sean Teh menegaskan bahawa niat jelas untuk menipu dan tindakan yang diambil, termasuk cubaan melarikan diri, tetap merupakan satu kesalahan.
Mengambil kira tindakan liciknya memalsukan pasport untuk memperdaya mangsa, hakim akhirnya menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas Singh pada 20 April 2026.
Niat asalnya untuk melepaskan diri dari sebuah ‘penipuan’ malangnya menjerat dirinya ke dalam penjara atas jenayah menipu yang sebenarnya tidak pernah berlaku.