Seorang lelaki etnik Kadazan mendakwa hasratnya untuk menyewa bilik di sebuah rumah tidak kesampaian dek kerana dia berasal dari Sabah dengan alasan tidak memenuhi kriteria sebagai rakyat Malaysia.

Memetik portal Kosmo, perkara itu menjadi perbualan hangat di media sosial selepas lelaki yang dikenali sebagai Kinney JR membuat perkongsian tangkap layar perbualan bersama seorang ejen hartanah di aplikasi Threads.

Berdasarkan tangkap layar itu, ejen hartanah itu meminta maklumat ringkas berkenaan bakal penyewa tersebut yang mana mungkin sebagai semakan sama ada menepati kriteria pemilik rumah itu.

Lelaki itu memaklumkan dia datang dari kaum Kadazan namun alangkah terkejut buat dirinya apabila melihat respons yang diberikan oleh ejen yang mengendalikan urusan sewaan.

“Terima kasih untuk maklumat diatas. Tetapi unit kami ini sudah diperuntukkan untuk warganegara Malaysia sahaja ya,” respon yang diterima dari ejen terbabit.

“Masa saya tengah cari bilik sewa, benda ini pun jadi. Kak, baik pergi sekolah belajar semula subjek Sejarah!,” seloroh lelaki itu.

kadazan
Sumber Gambar: Threads

Isu diskriminasi itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mana ramai dari Semenanjung yang bersolidariti dan memohon maaf ke atas kenaifan individu yang cetek ilmu geografi dan gagal memahami semangat persekutuan Malaysia.

“Dah 2025 pun masih ada Malaysian yg takde basic geography Malaysia ya ,” tulis Haniszain.

“Jap dorg dekat sekolah belajar geography & sejarah x samakah dgn kita disabah ni? Pelik aku,” soal _deffiena.

“Kena belajar la sabah ramai ethnic. Kalau bukan malaysian confirm tak tau. Kalau kadazan pun dia nda tau apa lagi yang lain dusun rungus murut,” tegas noramrsjess.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi pernah menghadapi perkara sedemikian. Dalam pada itu, ada individu yang berbaik hati mahu membantu mencarikan unit bilik sewa yang sudi menerima lelaki itu.