Pendedahan terbaru di Facebook oleh seorang wanita menunjukkan bagaimana seorang peniaga sanggup berpura-pura cacat untuk melariskan jualan rendangnya.
Menurut MStar, wanita tersebut, yang tidak mendedahkan lokasi kejadian, berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penipuan peniaga tersebut.
“Minggu lalu seorang brother ni berjualan sambil menggunakan kerusi roda, konon-konon kakinya cacat tak boleh bergerak dekat kawasan taman.
“Saya pun beli la rendang daging dua paket. Dia datang depan rumah… menjerit-jerit tengah panas.
“Saya pun kasihan, OKU kan. Walaupun dalam hati tak nak beli tapi ambil juga la atas niat nak membantu,” katanya
Meskipun harga RM25 untuk dua paket rendang dianggap mahal, wanita itu tetap membeli atas dasar simpati. Namun, kualiti rendang yang dijual mengecewakan, dengan daging yang sangat sedikit.
Yang lebih mengejutkan, wanita itu kemudian ternampak peniaga yang sama, kali ini tanpa kerusi roda, sedang memasukkan kerusi rodanya ke dalam but kereta.
“Kali ini depan mata tengok orang cacat yang sama tu berdiri siap angkat barang masuk kereta. Sebelum tu elok je dia naik kerusi roda berjualan kedai ke kedai.
“Dah dua kali kena scam. Modus operandi… konon-konon cacat raih simpati untuk orang membeli. Meniaga la elok-elok brother. Rendang tu buat lekat dekat gigi je RM25.
“Kasihan dekat yang betul-betul cacat terpalit sama. Nak untung menjual dengan cara macam ni berkat ke tidak? Tak tahu la. Peringatan untuk diri sendiri,” katanya.
Pendedahan ini turut mendapat perhatian ramai netizen yang mengecam tindakan peniaga tersebut.
Mereka menyatakan rasa kecewa dan marah kerana tindakan itu memburukkan status golongan OKU sebenar.