Lelaki yang ditahan selepas dipercayai mencetuskan provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya Isnin lalu didapati positif dadah jenis THC.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 30 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 12.15 tengah malam, 2 September.

Menurut beliau, polis menerima lima laporan berkaitan kejadian tersebut dan sudah mengambil keterangan daripada tujuh saksi bagi membantu siasatan.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis THC,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, menurut laporan Sinar Harian.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek yang bekerja sebagai tukang masak sebelum ini direman sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Kes itu mendapat perhatian selepas beberapa rakaman video tular memaparkan seorang lelaki berbaju coklat dipercayai mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang sedang bertugas ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Aidi Sham berkata, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibenarkan selama satu hari.

Siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.