Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah didenda RM3,300 oleh Mahkamah Majistret Ampang kerana merakam video rakan serumahnya yang berusia 31 tahun sedang mandi dalam keadaan telanjang pada Jumaat lalu (20 Jun).

Muhammad Fahmi Akmal Zakaria, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, dan dia kemudian dijatuhkan hukuman dipetik dari Sinar Harian.

Mahkamah telah memerintahkan agar tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fahmi didakwa merakam video mangsa berusia 31 tahun yang sedang mandi, dengan niat untuk mengganggu kesantunannya, sekali gus mengaibkan kehormatan mangsa.

Kesalahan ini didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Perdana, pada jam 8:10 pagi, 20 Jun lalu.

Pertuduhan terhadap Muhammad Fahmi dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, sekiranya sabit kesalahan.

Bagaimana Kejadian Itu Terbongkar

Rakam
Sumber Gambar: Wikipedia

Berdasarkan fakta kes, mangsa menyedari terdapat cahaya berkelip pada rak perkakas semasa dia sedang mandi di rumah sewanya. Curiga dengan keadaan itu, dia mula mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh rakan serumahnya.

Mangsa kemudiannya mengambil komputer riba dan wayar USB milik tertuduh. Setelah diperiksa, dia mendapati peranti kamera tersebut mengandungi kad memori yang menyimpan video dirinya sedang mandi dalam keadaan bogel.

Rayuan Pengurangan Hukuman

Semasa prosiding mahkamah, Mohd Azizi Darus, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), telah merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda yang paling minimum. Rayuan ini dibuat atas alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

“Anak guam memaklumkan perbuatan itu dilakukan sekadar gurauan memandangkan dia dan mangsa adalah teman serumah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani, mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pencegahan. Ini penting bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga kepada masyarakat umum, dengan mengambil kira fakta-fakta kes yang berlaku.

“Perkara ini bukan gurauan. Jika video berkenaan tersebar, ia boleh mengaibkan mangsa,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ramanathan Alias Ashwin.