Sebahagian negara di dunia, setiap rakyatnya diwajibkan untuk menyertai latihan khidmat negara yang berperanan menanam patriotisme serta memberikan latihan kemahiran ketenteraan yang berguna kepada individu dan negara.
Bagaimanapun, seorang lelaki Singapura didapati cubaan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa kerana melarikan diri daripada kewajipan khidmat negara (NS) pada tahun 1990-an.
Dan lebih teruk lagi dikesan menggunakan beberapa pasport palsu Malaysia untuk keluar masuk Singapura dan kini dijatuhi hukuman penjara.

Lelaki itu berjaya memasuki dan meninggalkan Singapura lebih 800 kali dalam tempoh lima tahun sebelum akhirnya pihak berkuasa berjaya menahannya.
Menurut laporan Weirdkaya, Low Eng Kheng telah meninggalkan Singapura menuju Malaysia pada tahun 1990-an untuk mengelak daripada menunaikan kewajipannya sebagai anggota khidmat negara (NSman) yang bersedia operasi.

Walaupun pasport Singapura Low tamat tempoh pada Jun 2000, dia tidak kembali ke Singapura dan terus menetap di Malaysia.
Pada tahun 2006, Low berhasrat untuk melawat ibunya yang sakit di Singapura.
Namun, dia takut menggunakan identiti sebenarnya kerana bimbang akan ditangkap kerana mengelak daripada kewajipan latihan khidmat negaranya.
Untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, dia membeli sebuah pasport palsu Malaysia dengan harga RM45,000. Pasport tersebut menggunakan gambarnya tetapi tertera nama dan tarikh lahir yang berbeza.
Antara tahun 2008 hingga 2010, Low telah membeli tiga lagi pasport palsu Malaysia dengan harga RM10,000 setiap satu. Dengan pasport-pasport tersebut, dia berjaya melepasi pelbagai pusat pemeriksaan di Singapura sebanyak 876 kali dari tahun 2006 hingga 2011.
Akhirnya, nasib Low tidak menyebelahi dirinya apabila dia ditahan pada Ogos 2024, susulan siasatan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada September 2023.
Semasa prosiding mitigasi, peguam Low, Thomas Tham, berhujah bahawa anak guamnya tidak menggunakan pasport-pasport tersebut untuk melakukan jenayah di Singapura, tetapi hanyalah untuk tujuan pekerjaan.
Low datang ke Singapura sebagai seorang pemandu untuk menghantar orang ramai, demi menyara isteri dan anak-anaknya. Kekerapan dia menggunakan pasport-pasport itu adalah disebabkan oleh sifat pekerjaannya sebagai pemandu.
Low mengaku bersalah atas lima pertuduhan di bawah Akta Imigresen dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan 18 minggu, berkuat kuasa 28 Ogos 2024.