Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas diserang dengan kejam oleh seorang individu bersenjatakan kapak dalam satu kejadian mengejutkan di daerah Bundi, India pada Selasa lepas.

Menurut laporan Majoriti, Mangsa, yang dikenali sebagai Banwari Meena, 40 tahun, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat serangan itu.

Menurut Subinspektor Kamal Singh dari polis perbandaran Kapren, hasil siasatan awal menunjukkan bahawa serangan tersebut dilakukan atas motif dendam.

Suspek, Tejmal Gurjar, 45 tahun, didakwa menyerang mangsa yang juga rakannya atas alasan ingin membalas dendam atas kematian isterinya dalam sebuah kemalangan jalan raya pada tahun sebelumnya.

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika orang ramai sedang menonton acara kebudayaan kira-kira pukul 11.15 malam, Selasa.

Video yang dirakam oleh seorang pengunjung kemudian dimuat naik ke laman Twitter dengan akaun @jaina111, merakam suspek menyusup dari belakang tirai pentas sebelum menghayunkan kapak ke arah kepala mangsa yang sedang duduk menonton persembahan.

Selepas menyerang mangsa dengan kejam, suspek melarikan diri dari tempat kejadian dan sehingga kini masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Kamal Singh menjelaskan bahawa motif serangan tersebut berkait rapat dengan tragedi kemalangan yang melibatkan kedua-dua keluarga mangsa dan suspek pada Jun tahun sebelumnya.

Banwari Meena, pengendali kenderaan yang dikatakan bertanggungjawab atas kemalangan itu sehingga menyebabkan kematian isteri Tejmal Gurjar.

Tejmal, yang dikatakan mempunyai dendam terhadap Banwari atas kematian isterinya, didakwa telah mencari peluang untuk membalas dendam.

Dan ketika acara kebudayaan sedang berlangsung di kampung mereka, dia secara tiba-tiba menyerang Banwari yang duduk di atas pentas dengan menggunakan kapak sebagai senjata.