Siapa sangka, di tengah-tengah kesibukan Klang, ada “negara kecil” yang diwujudkan secara haram oleh seorang warga asing. Bukan setakat buka port judi, siap berani tukar nama papan tanda jalan lagi.
Lorong Pangsapuri Sri Angkasa Jadi ‘Lorong Iwan Pirang’
Dalam satu serbuan Op Cakar oleh Bahagian D7 IPK Selangor semalam, pihak polis telah membongkar satu aktiviti perjudian sabung ayam dan bola golek yang berselindung di sebalik kebun pisang haram di hadapan Pangsapuri Sri Angkasa, Taman Bayu Perdana lapor Berita Harian.
Apa yang paling mengejutkan, papan tanda asal Lorong Pangsapuri Sri Angkasa telah diubah suai dan ditukar kepada Lorong Iwan Pirang bersempena nama penganjur aktiviti tersebut yang merupakan warga Indonesia berusia 42 tahun.
Kebun Pisang Jadi ‘Cover’ Port Judi
Bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, kawasan tanah lapang itu dipagar dengan zink dan ditanam dengan pokok pisang.
Di dalamnya, Iwan Pirang bukan sahaja membina gelanggang sabung ayam, malah siap menyediakan kemudahan tandas dan pondok kecil untuk keselesaan para “kaki judi.
Iwan Pirang mendakwa segalanya bermula secara “suka-suka” untuk menternak ayam, namun lama-kelamaan bertukar menjadi gelanggang judi selepas diajak rakan-rakan. Walaupun sekadar hobi hujung minggu, keuntungan yang diraih boleh mencecah RM4,000 sehari.
Rampasan Wang Tunai Lebih RM55,000
Dalam serbuan yang diketuai sendiri oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, seramai 72 individu berusia antara 20 hingga 70 tahun berjaya ditumpaskan, merangkumi dua penganjur utama serta 70 pemain yang terdiri daripada 41 warga tempatan dan 31 warga asing.
Aktiviti haram ini bukan sekadar suka-suka kerana nilai pertaruhannya dilaporkan sangat lumayan sehingga mencecah RM10,000 bagi setiap pusingan perlawanan.
Hasil daripada serbuan tersebut, pihak polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM55,075 beserta pelbagai peralatan perjudian, selain penemuan menyedihkan oleh pihak veterinar yang menjumpai 14 ekor ayam hidup dan empat ekor ayam yang sudah mati dipercayai akibat kesan kecederaan disabung.
Beroperasi Sejak 6 Bulan Lalu
Siasatan awal mendapati sindiket ini sudah “bermaharajalela” sejak enam bulan lalu dan hanya beroperasi pada hari Ahad, bermula jam 3 petang hingga 5 petang.
Kesemua suspek kini direman di IPD Klang Selatan dan akan disiasat mengikut beberapa akta termasuk Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan Akta Imigresen.
Nampaknya, impian Iwan Pirang untuk mengabadikan namanya pada jalan di Klang berakhir di lokap. Pengajarannya, jangan sesekali cuba “cop” harta awam jadi harta sendiri, apatah lagi untuk buat kerja haram!