Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim menyatakan penduduk Lembah Klang kehilangan lebih 500 jam setahun di atas jalan raya.
“Purata seorang penduduk Lembah Klang membazirkan lebih 500 jam setahun dalam kesesakan lalu lintas, bersamaan kira-kira dua jam 15 minit sehari.
“Ramai tidak sedar jumlah masa terbuang dalam trafik setiap tahun boleh mencecah lebih 500 jam. Ia bukan saja merugikan individu, tetapi juga negara dari segi kos ekonomi,” katanya.
Memetik Harian Metro, lokasi kritikal di Lembah Klang adalah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Sungai Besi, Jalan Kuching, Jalan Klang Lama danLebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE).
Kesesakan berlaku luar biasa terus meningkat pada waktu puncak.
Menurut Dr Ahmad kesesakan semakin memburuk kerana tiada penyelesaian puncar sebenar.
“Jalan raya baharu memang boleh mengurangkan sesak pada awalnya, tetapi lambat-laun ia kembali padat kerana menarik lebih banyak trafik setempat.
“Jika hanya fokus pada pembinaan jalan raya tanpa strategi lain, kita berisiko membazirkan sumber,” katanya.
Cara atasi kesesakan lalu lintas
Dr Ahmad kongsikan beberapa solusi yang memerlukan penglibatan menyeluruh seperti pihak berwajib dengan dasar efektif. Ia turut melibatkan penyedia perkhidmatan dengan pengangkutan berkualiti dan kesedaran orang awam.
Antaranya adalah penyediaan pengangkutan pengantara seperti bas dan van ulang-alik.
Ianya penting bagi menyelesaikan isu perjalanan awal dan akhir, sekali gus meningkatkan minat rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Pada masa sama pelaksanaan dasar bekerja dari rumah atau BDR.
“Kajian National Bureau of Economic Research (NBER) mendapati pekerja Malaysia boleh menjimatkan sehingga 69 minit perjalanan sehari sekiranya bekerja dari rumah.
“Istilah BDR boleh ditukarkan kepada ‘Remote Working‘ supaya tampak lebih profesional.
“Secara peribadi, bekerja dari rumah turut membolehkan saya lebih fokus pada tugasan dan menjimatkan masa perjalanan. Ia juga boleh mengurangkan trafik pada waktu puncak,” katanya.