Elon Musk – jutawan teknologi dan CEO kepada Tesla serta SpaceX – telah melontarkan kritikan pedas terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang juga sekutunya sendiri, lapor BBC.

Lebih panas lagi, ia berlaku hanya beberapa hari selepas Musk melepaskan jawatannya dari jabatan yang ditubuhkan oleh Trump sendiri.

Elon Musk Anggap Undang-Undang Tersebut Keji dan Jijik

Segalanya bermula apabila Kongres AS meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) besar melibatkan pemotongan cukai dan belanja kerajaan yang sangat tinggi.

Musk

RUU itu disokong kuat oleh Presiden Trump. Tetapi bagi Elon Musk, ia adalah satu tindakan yang ‘keji’, ‘menjijikkan’, dan ibarat bom jangka yang bakal ‘meletup’.

“Maaf, tetapi saya tidak tahan lagi,” tulis beliau dalam satu hantaran tegas di laman media sosial miliknya, X (dulu dikenali sebagai Twitter), pada hari Selasa.

Hantaran itu dengan pantas menjadi tular selepas disiarkan oleh CNBC International keesokan harinya.

Beliau turut membidas RUU tersebut sebagai ‘keji dan jijik’ dan secara terbuka mempersoalkan moral ahli Kongres yang menyokongnya.

Musk

“Malu pada mereka yang memilihnya: Anda tahu Anda salah. Anda tahu itu,” tulis CEO Tesla tersebut, tanpa berselindung.

Apa yang membuatkan kenyataan ini lebih ‘pedas’ ialah hakikat bahawa beliau baru sahaja meletakkan jawatan dari jabatan khas kerajaan yang dikenali sebagai Department of Government Efficiency (DOGE).

Jabatan itu pada asalnya ditubuhkan oleh Trump sendiri untuk mencari cara memotong pembaziran dan meningkatkan kecekapan dalam kerajaan.

Musk

Tetapi menurut Musk, RUU baharu itu langsung tidak mencerminkan efisiensi – malah bertentangan sepenuhnya dengan visi asal DOGE.