Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuala Lumpur, Syed Mohd Syukree Syed Mohd Kamil menyatakan individu yang diklasifikasikan menjalankan perniagaan turut melibatkan Youtuber,  ‘Instafamous’, pempengaruh atau yang membuat ulasan berbayar, selagi mereka menerima pendapatan.

Menurutnya, kegagalan untuk melaporkan pendapatan dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah, petik BERNAMA.

Beliau berkata sedemikian dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio yang membincangkan topik ‘Perniagaan Untung atau Rugi: Wajib Hantar Borang B’ baru-baru ini.

“Menurut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) boleh menyebabkan seseorang dikenakan denda antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, anda boleh dikenakan audit cukai, melibatkan semakan menyeluruh terhadap semua transaksi dan dokumen kewangan perniagaan.

“Proses ini boleh jadi rumit, memakan masa dan menjejaskan reputasi serta kewangan perniagaan, jadi boleh mula lapor pendapatan sekarang melalui Borang B atau e-B di Portal MyTax dari 1 Mac hingga 15 Julai,” katanya.