Fasa 1 saingan Liga IPT 2025 berlangsung pada 19 hingga 21 April lalu dengan aksi cukup menarik ditampilkan kesemua pasukan bertanding.

‘Berkampung’ di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok selama tiga hari menyaksikan beberapa pasukan mencuri tumpuan.

Baca Juga:

Liga Super

Dalam kempen Liga Super IPT, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang ‘naik pangkat’ ke liga utama setelah muncul juara Liga Premier musim lalu mempamerkan aksi cukup meyakinkan.

UniKL cemerlang dengan menundukkan Universiti Teknologi Petronas (UTP) 3-1 dan membelasah naib juara edisi lalu iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia 6-0. Mereka kemudiannya terikat 1-1 ketika berdepan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

IPT
Kredit Foto: Sukan IPT

Tujuh mata diraih menyaksikan UniKL memimpin saingan Liga Super IPT dengan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki berbanding juara bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

UiTM pula menerima kejutan apabila sekadar terikat tanpa jaringan pada aksi sulung bertemu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila turun tanpa beberapa tonggak utama.

Namun, skuad kendalian Addy Shairullyzam itu bangkit dengan dua kemenangan ke atas Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 3-1 dan UKM 3-1.

Liga Premier

Liga Premier juga tidak kurang menariknya melibatkan persaingan antara Management and Science University (MSU), University of Nottingham Malaysia (UNM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

MSU dan UNM terikat tujuh mata tetapi pasukan yang berpangkalan di Shah Alam itu berada di tangga teratas berikutan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki.

IPT
Kredit Foto: Dean Hilman

MSU bermula dengan kemenangan 3-1 ke atas TATI University College (UC TATI), kemudiannya terikat 1-1 dengan UNM dan membelasah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 7-2.

UNM pula mempamerkan semangat juang tinggi apabila mereka bangkit daripada ketinggalan satu gol pada ketiga-tiga perlawanan dilalui untuk mereka menang 2-1 ke atas UiTM Perlis, 1-1 dengan MSU dan menang 3-1 ke atas UPM.

Liga Wanita

Para pemain wanita juga menjelmakan aksi bertenaga apabila UPSI dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) masing-masing merekodkan kemenangan bersih untuk mengumpul sembilan mata.

UPSI tampil cukup garang apabila membelasah UiTM 6-1, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) 5-1 dan kemudiannya Universiti Malaya (UM) menjadi mangsa dengan kemenangan 3-0.

UPNM yang merupakan juara Liga IPT 2023 pula menundukkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 4-2, UM 3-0 sebelum berhempas pulas untuk menewaskan pasukan senang meningkat naik, MSU 2-1.

Kedudukan Liga Futsal IPT 2025 Selepas Tamat Fasa 1

Liga Super

1) UniKL – 7

2) UiTM – 7

3) Politeknik Malaysia – 6

4) UMK – 6

5) UMPSA – 5

6) UTEM – 4

7) UPSI – 4

8) KPTM Bangi – 3

9) UKM – 0

10) UTP – 0

Liga Premier

1) MSU – 7

2) UNM – 7

3) UPM – 6

4) UTHM – 4

5) IIUM – 4

6) UM – 3

7) UiTM Perlis – 3

8) UC TATI – 3

9) UMT – 3

10) UUM – 0

Liga Wanita 

1) UPSI – 9

2) UPNM – 9

3) MSU – 6

4) UiTM – 6

5) UM – 3

6) UPM – 3

7) UTM – 0

8) KPTM Bangi – 0