Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) antara tiga pasukan yang mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas tamat dua perlawanan Liga Bolasepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)-100PLUS B-14 2024.

SSBJ melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Syed Hassan dari Perlis hasil jaringan Muhd Al – Asyraf Mohd Rulnizan pada perlawanan yang berlangsung di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Kemenangan penting yang dilakarkan itu sekali gus memastikan anak didik Nik Juhaisham Tarmizi Juhari mengumpul enam mata.

Meskipun berjaya melakar jaringan di awal saingan, kelebihan bermain di laman sendiri gagal memberi impak untuk menambah jaringan sepanjang perlawanan untuk menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan

“Kita akui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki selepas perlawanan hari ini (Sabtu) terutama di bahagian penyudah kerana kita memiliki banyak peluang terhidang sepanjang perlawanan,” kata Adrian Shaun Scully, Pembantu jurulatih SSBJ.

Akademi Mokhtar Dahari B14 menerajui kumpulan A dengan perbezaan jaringan disusuli SMK Putrajaya Presint 14 (1) yang menghuni tangga kedua manakala SSBJ ditangga ketiga, kesemuanya berkongsi enam mata.

Bagi saingan kumpulan B, SMK Tun Hussein Onn muncul pendahulu liga selepas turut mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas tiga perlawanan.

Mengekori rapat dibelakang adalah SMK Ibrahim Fikri yang mengumpul enam mata maksima namun masih kurang satu perlawanan berbanding pendahulu.

Berikut merupakan keputusan penuh perlawanan kedua Liga KPM-100PLUS B-14:

Kumpulan A

SMK Tunku Anum Abdul Rahman tewaskan SMK Za’Ba (3-0)

SMK Taman Desa tewaskan SMK Seri Titiwangsa (4-1)

SMK Kampong Chengal seri dengan SMK Bukit Nenas (0-0)

Kumpulan B

SMK Ibrahim Fikri tewaskan Akademi Mokhtar Dahari B13 (3-1)

Kolej Sultan Abdul Hamid kalah kepada SMK Seksyen 11 (0-1)

SMK Putrajaya Presint 8 (1) kalah kepada SMK Tabuan Jaya (0-7)

SMK Tun Hussein Onn tewaskan SMK Mutiara (1-0)