Tunggakan bil elektrik membabitkan lima blok di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1 kini mencecah RM2.02 juta ringgit sejak 2023 telah menyebabkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengemukakan tuntutan kepada syarikat pemaju.

Sehubungan itu, Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri teresebut akan mengadakan rundingan lanjut dengan TNB berhubung notis pemotongan bekalan elektrik yang kini merunsingkan penduduk.

Baca Juga:

Wakil JMB yang ditemui Berita Harian, berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada pihak TNB dalam masa terdekat agar pemotongan bekalan elektrik yang bakal menjejaskan bekalan air, fungsi lif dan lampu koridor dijadualkan pada 17 Januari ini, dapat ditangguhkan.

“Dalam rundingan bersama pihak TNB dan pemaju sebelum notis pemotongan dikeluarkan, pihak TNB menuntut syarikat pemaju menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 peratus (RM200,000) daripada jumlah keseluruhan tunggakan, namun pihak JMB tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Kini, pihak TNB mengeluarkan notis pemotongan bekalan elektrik kerana kita tidak mampu buat pembayaran dan isu ini berlaku kerana kutipan yuran penyelenggaraan tidak mencukupi untuk menampung jumlah diminta,” katanya.

Difahamkan yuran penyelenggaraan ditetapkan RM50 untuk setiap unit kediaman membabitkan 1,440 unit kediaman di lima blok itu. sekiranya semua unit tidak culas membayar yuran berkenaan, ia hanya mampu mengumpul RM72,000 sahaja.

“Kebiasaannya, kita tidak dapat mengumpul RM72,000 kerana ada yang culas membayar dan dengan duit yang ada kita perlu tampung pelbagai kos termasuk penyelenggaraan, bil air, insurans dan kerosakan kemudahan.

“Kita perlukan sekurang-kurangnya RM120,000 sebulan termasuk gaji staf pengurusan, pekerja penyelenggaraan dan pembersihan. Perbelanjaan sudah melebihi pendapatan sehinggakan kita tidak mampu membaiki kerosakan lima lif yang kini berlaku,” katanya.

Jelas beliau, keseluruhan terdapat 10 lif iaitu dua lif untuk setiap blok dan kini hanya satu lif berfungsi di setiap blok. Ada di antara lif sudah lama rosak sejak lima tahun lalu.

Tambah beliau lagi, kos untuk membaiki kerosakan lif akibat berlaku vandalisme, kerosakan peralatan serta kecurian alat ganti dengan kos pembaikan mencecah puluhan ribu. Syarikat penyelenggara lif kebiasaannya meminta pendahuluan sebelum melakukan pembaikan.

“Perkara ini menyebabkan pihak JMB terpaksa meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun sehingga kini tiada jawapan,” katanya.

Memetik laporan itu lagi, ada pihak menuduh pengurusan JMB menyelewengkan wang JMB. Sehubungan itu pihaknya membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Besi.

“Semasa pengurusan baharu JMB mengambil alih tugas daripada JMB terdahulu pada 2018, sudah terdapat tunggakan pelbagai bil berjumlah lebih RM300,000 dan kita cuba jelaskan tunggakan sedikit demi sedikit, namun tunggakan meningkat semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak COVID-19. Ramai yang terkesan.

“Ada pihak yang menuduh pihak JMB tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penduduk yang culas membuat bayaran, itu tidak benar. Kita guna beberapa pendekatan termasuk mengeluarkan hebahan menuntut penduduk buat bayaran, notis amaran, memotong bekalan air, namun perkara itu terus berulang,” katanya.

Isu tunggakan bil elektrik ini juga, katanya sudah didedahkan kepada penduduk pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-7 pada 5 Ogos 2023 dan ketika itu terdapat tunggakan hampir RM700,000 sehingga tarikh 1 November 2020.

Wakil JMB menegaskan pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu ini, pihak pemaju tidak bersalah. Namun isu tunggakan bil elektrik ini sukar diselesaikan kerana pihaknya tidak mempunyai dana mencukupi buat masa ini.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak TNB pada Isnin ini untuk membuat rayuan terakhir untuk pihak TNB menangguhkan tarikh pemotongan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan lebih 7,000 penduduk di pangsapuri itu.

Sumber