Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail mendedahkan lima syarikat pengeluar makanan ayam terlibat dalam kegiatan kartel telah didenda sebanyak RM415 juta.

Denda itu dikenakan selepas mendapati syarikat Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dinding), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro) telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga ayam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memetik satu laporan, siasatan MyCC mendapati makanan ayam adalah faktor kos utama dalam penternakan ayam, merangkumi 72.8 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan.

Katanya, perkara ini sangat membimbangkan memandangkan ayam adalah sumber protein utama bagi majoriti pengguna di Malaysia.

“Siasatan oleh MyCC meliputi tempoh antara November 2021 dan Jun 2022 sudah mendedahkan potensi gangguan dalam pasaran makanan ayam.

“Ia juga mendedahkan satu siri pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan (melalui WhatsApp dan emel),” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Iskandar berkata, penyiasatan mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa di antara perusahaan terbabit antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

Difahamkan perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan bahawa kenaikan kos makanan ayam adalah disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

Lebih meragukan apabila kenaikan kuantum harga yang sama dilaksanakan oleh perusahaan ketika MyCC mengenal pasti beberapa keadaan di mana kos bahan mentah sudah menurun.

Menurutnya, kartel itu menaikkan harga makanan ternakan antara RM1 ke RM4 setiap 50 kilogram (kg) guni yang mana kenaikan ada masanya serentak sebulan dan ada masanya dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu, MyCC juga mengeluarkan arahan yang perlu dipatuhi oleh perusahaan antaranya Perintah Berhenti dan Hentikan, di mana perusahaan perlu menghentikan penyertaan daripada terbabit dalam kartel makanan ayam.

Selain itu perusahaan juga perlu patuhi Laporan Bulanan Harga makanan Ayam, Kaji dan perkukuhkan Program Latihan Pematuhan, Pelaksanaan Program Pematuhan dan Pengiktirafan Pelanggaran Undang-undang Persaingan sebagai Salah Laku.

“Kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan dan satu bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutamanya di dalam kes berkepentingan awam.

“MyCC ditugaskan oleh kerajaan untuk menghapuskan kartel dan kami akan terus melakukannya tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Seperti yang sudah kami maklumkan sebelum ini, kami masih memantau industri ayam sejak keputusan kerajaan baru-baru ini untuk menghentikan subsidi dan kawalan harga ayam.

“Kami berharap pengajaran daripada kes ini akan menjadi penghalang kepada semua terutamanya bakal kartel,” katanya.

Sumber