Pemain Manchester City, Bernardo Silva menyatakan beliau lebih gemar untuk beraksi menentang Liverpool yang pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berbanding Arsenal.

Bernardo berkata demikian selepas City diikat seri ketika menentang Arsenal yang mana beliau tidak berpuas hati kerana ada insiden yang dianggap meragukan selain tidak gemar dengan cara skuad kendalian Mikel Arteta itu bermain.

Baca Juga:

Ketika wawancara selepas perlawanan, bintang kelahiran Portugal itu membandingkan antara Arsenal dan Liverpool dan beliau menegaskan The Reds adalah pasukan yang lebih baik.

“Kami tidak berpuas hati kerana tidak mendapat tiga mat. Tetapi saya gembira bagaimana pasukan bermain dalam perlawanan ini. Hanya satu pasukan saja yang mahu menang, berbeza dengan yang lain.

“Apa perbezaan antara Arsenal dan Liverpool? Mungkin Liverpool sudah memenangi liga manakala Arsenal belum memenanginya.

“Liverpool juga memenangi Liga Juara-Juara pada masa itu, Arsenal belum lagi. Sekarang, dari sudut pandangan, Liverpool sentiasa menentang kami secara bersemuka dan mahu memenangi perlawanan itu.

“Perlawanan menentang Arsenal tidak seperti perlawanan kami menentang Liverpool, dan masih begitu. Jadi, mungkin ia adalah saingan yang berbeza,” kata Bernardo Silva.

Dalam perlawanan semalam, Erling Haaland membuka tirai jaringan bagi City dan kemudiannya Arsenal bangkit menerusi jaringan Riccardo Calafiori dan Gabriel Magalhaes.

Pada lewat separuh masa kedua, John Stones menjadi wira City apabila menjaringkan gol penyamaan sekaligus memberikan satu mata kepada kedua-dua pasukan.

Arsenal turut beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa kedua selepas pemain sayap mereka, Leandro Trossard dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama.

Keputusan seri ini meletakkan City di tangga pertama manakala Arsenal kini berada di tangga keempat dibelakang Liverpool dan Aston Villa.