Pemain tengah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley FC iaitu Joshua Brownhill dikatakan memiliki darah keturunan Malaysia daripada sebelah ibunya.

Malah, neneknya juga didakwa berasal dari Malaysia dan beliau cukup mengenali pemain tengah skuad Harimau Malaya, Stuart Wilkin.

Baca Juga:

Perkembangan itu didedahkan oleh laman pencari bakat, Frfuturetalents yang masih aktif mencari pemain keturunan Malaysia di luar negara.

“Joshua Brownhill dilahirkan di Warrington, England. Memiliki darah Malaysia menerusi ibunya. Neneknya juga berasal dari Malaysia. Joshua sangat mengenali pemain Harimau Malaya, Stuart Wilkin,” tulis Frfuturetalents.


Brownhill yang berusia 28 tahun merupakan antara tonggak utama Burnley dalam saingan EPL musim ini. Berdasarkan rekod, beliau telah menjaringkan 3 gol dalam 27 penampilan termasuk satu gol di Piala FA.

Pemain tersebut turut membantu Burnley menjuarai EFL Championship pada musim 2022-2023 dan tersenarai antara 11 pemain terbaik pilihan pengurus liga itu.

Sepanjang dalam karier bola sepaknya, beliau tidak pernah dipanggil mewakili England namun sering mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya di media sosial menerusi rakan baiknya, Stuart Wilkin.

Selain Joshua Brownhill, seorang lagi pemain yang dicanang memiliki darah Malaysia ialah Marcus Joseph Tavernier dari kelab AFC Bournemouth di EPL.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini dilaporkan sedang memantau perkembangan tiga hingga empat pemain kacukan baharu bagi memperkuatkan Harimau Malaya.

Lambakan pemain berdarah keturunan Malaysia yang beraksi di luar negara sudah tentu akan memberi banyak pilihan kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk membentuk barisan mantap.

Kehadiran pemain ini adalah sebagai satu pelan sokongan kepada skuad senior selepas beberapa pemain utama sedang meniti penghujung karier dan memerlukan pengganti untuk beberapa posisi kritikal.