Seperti yang dilaporkan baru-baru ini tentang jumlah dagangan NFT sudah merundum sehingga 97% pada tahun ini. Hal ini sekaligus memberikan kesan kepada harga sejumlah koleksi NFT yang dimiliki oleh pembeli yang mana termasuklah selebriti terkemuka, Logan Paul.
Terbaharu, Logan Paul selaku pendokong kuat idea kripto dan NFT kini terpaksa menggigit jari selepas pelaburan besar yang dibuat menerusinya telah mengalami penurunan nilai yang terlalu rendah. Pada tahun lalu, beliau telah membeli sebuah NFT yang dinamakan Bumblebee pada harga $623,000 (~RM2.8 juta).
Baca Juga:
- Lukisan ‘Langkah Sheraton’ Dijual Pada Harga RM1.3 Juta
- Dengan Dorongan Mike Shinoda, Wanita Malaysia Ini Mula Menjual Karya Seninya Di NFT
Dengan harapan koleksi NFT ini bakal memberi pulangan yang lumayan, beliau sendiri mengakui NFT tersebut pada ketika ini hanya bernilai sekitar $10 (~RM46.36) sahaja. Koleksi NFT hanya bernilai tinggi pada tahun 2021 lalu disebabkan popularitinya meningkat naik dengan drastik di seluruh dunia.
Sementara pada tahun ini menunjukkan penurunan dagangan NFT di sejumlah platform termasuklah OpenSea yang mana dilaporkan mengalami penurunan aktivit jual beli sehingga 99% antara Mei dan Ogos 2022. Hal ini sekaligus menjejaskan nilai kesemua koleksi NFT yang ditawarkan menerusinya.
Jadi, benarlah kenyataan demam NFT sudah semakin mati dan hanya menunggu masa untuk lenyap sepenuhnya. Selain NFT, industri metaverse juga menunjukkan corak yang sama di mana jumlah dagangan jatuh sebanyak 98% berdasarkan laporan Finbold baru-baru ini.