Loji Tenaga Nuklear Rooppur berjaya disambungkan ke grid nasional Bangladesh buat julung kalinya pada Selasa, sekali gus menandakan langkah awal menjelang permulaan penghantaran bekalan elektrik secara tetap pada awal tahun hadapan.
Loji berkapasiti 2.4 gigawatt (GW) yang terletak di tebing Sungai Padma, kira-kira 160 kilometer dari Dhaka itu, dibangunkan oleh syarikat nuklear milik kerajaan Rusia, Rosatom, dengan kerja-kerja pembinaan dua reaktornya bermula pada tahun 2017, petik Arab News.
Pihak Berkuasa Kawal Selia Tenaga Atom Bangladesh memberikan kelulusan operasi kepada fasiliti tersebut bulan lalu sebelum ia memulakan proses penjanaan kuasa awal.
Menerusi fasa percubaan penyambungan ini, loji berkenaan dijangka menyalurkan sehingga 350 megawatt (MW) tenaga elektrik ke talian grid nasional.
Pengarah Projek Pembangunan Fasiliti Rooppur, Dr. Kabir Hossain berkata, pencapaian itu merupakan satu kejayaan besar bagi loji janakuasa nuklear pertama negara berkenaan.
“Ujian penyambungan ke grid dijalankan bagi menilai keupayaan sistem menampung bebanan kuasa serta melihat kesannya terhadap grid dan turbin. Berdasarkan parameter semasa, getaran turbin dan frekuensi grid berada pada tahap normal, namun situasi sebenar hanya akan diketahui selepas kedua-duanya disambungkan,” katanya seperti dipetik portal berita Arab News.
Menurut beliau, sambungan ujian tersebut akan dikekalkan selama beberapa jam—dianggarkan sekitar empat jam—bagi memantau tindak balas antara loji dan grid nasional. Sekiranya timbul sebarang masalah teknikal, sambungan akan diputuskan segera untuk penilaian lanjut.
“Apabila kedua-dua sistem ini berjaya diselaraskan, barulah penyaluran elektrik antara 300 hingga 350 MW secara percubaan akan dimulakan bagi memastikan kelancaran bekalan,” jelas beliau.
Keputusan ujian berkenaan turut menjadi penentu kepada garis masa rasmi integrasi loji nuklear itu ke dalam sistem penjanaan kuasa Bangladesh. Reaktor pertama berkapasiti 1.2 GW dijadual beroperasi sepenuhnya pada tahun 2027, diikuti reaktor kedua pada tahun 2028.
“Buat masa ini, tarikh tepat bagi penghantaran bekalan secara tetap belum dapat diputuskan kerana melibatkan beberapa aspek teknikal, namun berdasarkan persiapan semasa, ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” tambah Dr. Kabir.
Projek Rooppur merupakan projek tunggal terbesar dalam sejarah Bangladesh dengan anggaran kos keseluruhan mencecah AS$11.2 bilion (RM46 bilion).
Apabila beroperasi kelak, loji ini diunjurkan mampu menampung kira-kira 11 peratus daripada keperluan tenaga elektrik negara itu, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil import dan meredakan tekanan ke atas rizab mata wang asing.
Bangladesh, yang mempunyai populasi seramai 170 juta penduduk, kini bergantung kepada gas bagi menjana hampir separuh daripada bekalan elektriknya dan sering berdepan krisis kekurangan tenaga yang berpanjangan, terutamanya susulan krisis bahan api akibat peperangan di Asia Barat.