Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan lori tipper yang menyebabkan pelanggaran dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu, mendapati terdapat isu pada kedua-dua kenderaan.
Memetik Harian Metro, siasatan mengenal pasti wujudnya kelompangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan pengoperasian kenderaan lori tipper termasuk tidak mematuhi Pelan Teknikal Kenderaan yang diluluskan mengikut Kaedah 9A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1959.
Baca Juga:
- Baru Bebas 20 Minit, Pemandu Lori Terlibat Nahas FRU Ditahan Semula, Suspek Kes Curi Lembu
- 8 Anggota FRU Maut, Kemalangan Dengan Lori Bawa Batu
“Berdasarkan pelan teknikal dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lori tipper terbabit diluluskan hanya untuk mengangkut arang batu dengan ketinggian pagar sisi dibenarkan ialah 1,016 mm berdasarkan muatan coal yang mempunyai ketumpatan pukal lebih rendah berbanding batu kerikil.
“Ukuran ini disahkan semasa pemeriksaan pasca-kemalangan, namun semasa kejadian, lori itu dikesan membawa muatan batu kerikil yang tidak selaras dengan kelulusan asal sekali gus melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat (Apad) 2010 kerana membawa muatan selain dibenarkan.
“Menurut Garis Panduan Penyemakan Pelan Teknikal Kenderaan 2015, kenderaan yang mengangkut bahan binaan seperti pasir atau batu kerikil hanya dibenarkan sekiranya ketinggian pagar sisi tidak melebihi 762 mm, kecuali untuk muatan khas berketumpatan tertentu yang diluluskan sebagai jenis badan khas,” petik Harian Metro.
Dalam pada itu, hasil siasatan turut mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang, termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan trak FRU, lapor Malaysia Gazette.
“Ketiadaan elemen keselamatan pasif ini dipercayai telah secara signifikan meningkatkan risiko kecederaan serius terhadap penumpang yang duduk di bahagian tersebut semasa pelanggaran berlaku,” petik laporan berkenaan.
Pada awal Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Manakala sembilan lagi cedera.