Jadual perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kini sedang mengalami kelewatan berikutan satu gangguan teknikal, petik satu kenyataan rasmi di media sosial.

Insiden ini berpunca daripada kerosakan komponen pada sebuah tren, yang mengakibatkan tren tersebut tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya.

Susulan daripada gangguan operasi ini, para penumpang dijangka akan mengalami masa menunggu yang lebih lama di platform stesen, terutamanya di Stesen Ara Damansara dan Stesen Kelana Jaya.

Bagi meminimumkan kesulitan pengguna, pihak Rapid KL telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik secara percuma.

Butiran perkhidmatan alternatif tersebut adalah seperti berikut:

1. Tren Alternatif: Tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Ara Damansara dengan jangkaan kekerapan setiap 6 minit.

Manakala, tren dari Stesen Gombak pula akan berpatah balik di Stesen Kelana Jaya, juga dengan kekerapan setiap 6 minit.

2. Tren Perantara: Sebuah tren perantara disediakan khusus dari Stesen Ara Damansara ke Stesen Kelana Jaya (Platform 2) dengan kekerapan setiap 8 minit.

3. Bas Perantara Percuma: Perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan di antara Stesen Ara Damansara, Lembah Subang, dan Kelana Jaya dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, tertakluk kepada keadaan trafik semasa.

Guna Pengangkutal Rel Lain

Selain perkhidmatan alternatif yang disediakan, para penumpang turut dinasihatkan untuk menggunakan mod pengangkutan rel lain sebagai laluan alternatif ke destinasi masing-masing, seperti Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang, dan Laluan Putrajaya.

Menurut kenyataan tersebut, pasukan teknikal Rapid KL telah pun berada di lokasi insiden bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih agar operasi normal dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Bagi memastikan tahap keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang terkawal, anggota polis bantuan berserta petugas stesen telah ditempatkan di kawasan platform dan ruang legar stesen untuk menghulurkan bantuan.

“Pihak operasi juga akan membuat pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren dari semasa ke semasa di stesen-stesen yang terjejas,” kata pihak Rapid KL.

Para penumpang amat disarankan untuk sentiasa merujuk laman media sosial rasmi Rapid KL atau menggunakan aplikasi MyRapid PULSE untuk mendapatkan maklumat dan status terkini berhubung perkhidmatan Laluan Kelana Jaya.

Penumpang Lewat Ke Pejabat

Menerusi hantaran di media sosial, ramai penumpang meluahkan rasa kecewa dengan perkhidmatan LRT yang kerap bermasalah pada waktu bekerja.

Para penumpang terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran untuk masuk ke dalam tren.

Bahkan ada yang ‘bertambah lambat’ untuk ke destinasi selepas terpaksa menukar tren, mod pengangkutan lain ekoran masalah yang terjadi pada pagi ini.