Aroma kopi di dalam kafe memang mendamaikan jiwa, tapi bagi mereka yang bertungkus-lumus di sebalik mesin espreso, situasinya tidak selalu tenang.

Baru-baru ini, tular satu luahan jujur daripada komuniti barista yang memohon pelanggan menghentikan satu tabiat yang dianggap ‘normal’: tercegat dan merenung mereka di depan kaunter.

Walaupun nampak remeh, rupa-rupanya ia memberi tekanan mental yang bukan biasa-biasa tanpa kita sedari selama ini.

“Jangan, jangan sesekali berdiri atau ‘bertenggek’ tepat di depan bar macam ni, pelanggan kesayangan semua. Sejujurnya, ia buat kami yang bekerja di sebalik bar rasa sangat tak selesa.

“Bila asyik direnung, kami automatik rasa gementar sampai mula menyoal diri sendiri ‘Betul ke cara aku buat ni? Bahan ni dah masuk ke belum?’. Akibat terlalu panik, masa tulah mula kelam-kabut sampai air pun boleh tertumpah,” pesannya.

Hal ini menjadi perbualan hangat susulan penularan sebuah video yang memperlihatkan suasana yang sibuk di sebuah kedai kopi terkenal dalam masa sama pelanggan sedia menunggu di hadapan kaunter meskipun pesanan masih dalam pembikinan lagi.

Tambahnya, ada baiknya jika para pelanggan tunggu di meja-meja atau tempat lain dan datang mengambil pesanan apabila sudah dimaklumkan menerusi aplikasi.

Terdapat respon barisata lain menerusi hantaran yang sama yang bersetuju bahawa kelakuan memerhati mereka sedang bekerja hanya menambah tekanan yang lebih serius sehingga menganggu fokus sewaktu itu.

“Aku tak selesa orang tengok aku temgah buat kerja .. tertekan + jadi auto kalut .. rasa macam kena pressure sebab ditenung depan-depan.

“Aku mmg tertekan ye bile cust bertenggek depan kaunter macam ni,” demikian luahan hati barista berkenaan isu tersebut.

Kini barulah kita ketahui mereka sedang ‘berperang’ di sebalik kaunter untuk menyiapkan pesanan para pelanggan yang datang membeli.

Akhir kata, tugas sebagai seorang barista nampak saja estetik dan mudah, tapi realitinya ia memerlukan fokus serta ketelitian yang tinggi. Sedikit timbang rasa daripada kita sebagai pelanggan sebenarnya memberi impak yang sangat besar kepada emosi dan persekitaran kerja mereka.