Sambutan Hari Kebangsaan di negara kita sentiasa meriah dengan kibaran Jalur Gemilang dan perarakan warna-warni di pelbagai pelosok negeri.

Setiap tahun, rakyat Malaysia bersatu hati menzahirkan rasa syukur atas nikmat kebebasan dan kedamaian yang dikecapi.

Namun, kehangatan semangat patriotik ini rupa-rupanya turut bergema hingga ke luar negara, menyeberangi ribuan kilometer ke tanah yang sedang berdepan ujian berat.

Lukisan Jalur Gemilang Di Atas Runtuhan

Lukis Jalur Gemilang Atas Runtuhan, Gaza Hantar Ucapan Hari Kebangsaan Buat Malaysia
Sumber Gambar: Instagram

Perkongsian daripada pertubuhan Cinta Gaza Malaysia di laman Instagram baru-baru ini menyentuh hati ramai.

Di sebalik kediaman dan bangunan yang ranap akibat konflik, beberapa penduduk di Semenanjung Gaza memilih untuk memberikan penghormatan istimewa kepada tanah air kita.

Dengan berbekalkan cat dan semangat yang tidak pernah padam, mereka melakar gambar Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan warna Jalur Gemilang dengan teliti pada runtuhan konkrit.

Mesej Kebebasan Dari Bumi Gaza

Lukis Jalur Gemilang Atas Runtuhan, Gaza Hantar Ucapan Hari Kebangsaan Buat Malaysia
Sumber Gambar: Instagram

Bagi masyarakat di sana, lukisan tersebut bukan sekadar lakaran biasa, tetapi sebuah simbol sokongan dan penghargaan yang amat mendalam.

Pertubuhan tersebut menulis, “Sempena 69 tahun kemerdekaan Malaysia, warna Jalur Gemilang dilakar di atas runtuhan, membawa sebuah mesej dari Gaza buat rakyat Malaysia tentang erti kebebasan yang begitu berharga.”

Mesej itu secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa ketika kita bergembira meraikan nikmat kemerdekaan, masih ada insan di bumi lain yang mendambakan rasa selamat di tanah air sendiri.

Pihak Cinta Gaza Malaysia turut menambah, “Dari runtuhan Gaza, Selamat Hari Kebangsaan ke-69, Malaysia. Semoga suatu hari nanti, Palestin juga dapat meraikan erti kemerdekaan yang sebenar.”

Rakyat Malaysia Terharu Dan Mendoakan

Tindakan penuh bermakna ini mendapat perhatian hangat di ruang komen media sosial.

Menjengah reaksi warganet, ramai yang meluahkan rasa sebak dan tersentuh atas ingatan tulus penduduk Gaza yang tetap mengingati Malaysia walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Seorang warganet menulis, “Dalam keadaan macam ni pun masih ingat Malaysia. Sedihnya.”

Ungkapan tersebut disambut dengan doa dan harapan daripada rakyat tempatan yang sentiasa menyokong perjuangan mereka. Seorang lagi netizen menambah, “Satu hari nanti, kami pun akan meraikan kemerdekaan Palestin.”

Kepayahan hidup yang dialami langsung tidak menghalang mereka untuk menghantar mesej persahabatan ini.

Hadiah lakaran dari Gaza ini wajar menjadikan kita lebih menghargai nikmat keamanan yang ada. Semoga sokongan moral serta doa rakyat Malaysia terus mengiringi mereka agar satu hari nanti, bumi Palestin juga dapat mengecapi kemerdekaan yang hakiki.

Sumber