Aktiviti perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua, Johor, yang tular menerusi media sosial baru-baru ini dipercayai melibatkan wang pertaruhan berjumlah RM15,000.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, memaklumkan bahawa maklumat tersebut diperoleh menerusi sesi soal siasat terhadap suspek yang ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati perlumbaan haram berkenaan melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM15,000,” ujar beliau dalam satu kenyataan ringkas, petik Harian Metro.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan penahanan tiga individu — terdiri daripada seorang penunggang dan dua orang penonton — bagi membantu siasatan berhubung insiden perlumbaan haram yang tular di lebuh raya berkenaan.