Bekas penyerang skuad B-22 Tahun negara, Luqman Hakim telah menamatkan tempoh pinjaman beliau bersama kelab divisyen tiga Liga Jepun iaitu Yokohama SCC.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab di laman media sosial baru-baru ini, Luqman akan meninggalkan pasukan sejurus selepas saingan Liga J3 musim 2024 berakhir.

Baca Juga:

“Kami ingin memaklumkan kepada bahawa Luqman Hakim akan meninggalkan pasukan pada akhir musim 2024 disebabkan tempoh pinjamannya sudah berakhir,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Luqman dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama penyokong sepanjang tempohnya beraksi bersama kelab Jepun itu.

“Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada ahli kelab, staf kejurulatihan dan penyokong YSCC atas sokongan padu dan dedikasi kepada kelab kita dalam musim ini untuk tahun 2024.

“Saya gembira beraksi untuk kelab ini. Saya harap pada masa akan datang, kita akan berjumpa lagi. Saya gembira menjadi sebahagian daripada kelab ini. Terima kasih semua. Selamat berjaya untuk musim hadapan,” katanya.

Luqman Hakim membuat sembilan penampilan dalam semua kejohanan buat Yokohama SCC untuk tahun 2024 yang mana kelab tersebut tersingkir ke saingan Liga Bola Sepak Jepun (JFL) yang merupakan saingan divisyen empat selepas tewas kepada Kochi United dalam aksi play-off.

Selepas ini, pemain berusia 22 Tahun itu akan kembali ke pangkuan kelab Belgium iaitu KV Kortrijk.